Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Monday, June 30, 2008

DS Anwar: Pejuang tulin atau pejuang peribadi?

Dalam kes Tun Tuah, laksamana tersebut dituduh menjalin hubungan dengan dayang istana. (bukan gundik dan bukan dayang rasmi - hanya 'orang yang keluar masuk istana').

Perlu diingat, Sejarah Melayu (A. Samad Ahmad, 1979) tidak menyatakan kes itu suatu fitnah. Walau bagaimanapun dalam Hik Hang Tuah, (Kassim Ahmad, 1975) diceritakan bahawa ianya fitnah yang dibuat oleh Patih Karma Wijaya.

Dalam hal ini Demang tidak mahu mengambil sebarang ketetapan kerana ia tidak begitu berkaitan dengan tulisan ini.

Bagi Demang perkara penting yang perlu kita perhatikan ialah perbezaan tindak balas pejuang tulin dengan pejuang peribadi apabila berhadapan dengan situasi genting seperti itu.

Demang katakan 'genting' kerana ia memaksa si pejuang tersebut membuat pilihan samada memilih kepentingan peribadi atau kepentingan negara.

Dalam hal ini Tun Tuah bertegas dengan prinsip bahawa kepentingan rakyat dan negara adalah paling penting.

Adakah Tun Tuah pengecut? Sifat pengecut adalah sifat orang yang tidak kuat.

Adakah Tun Tuah tidak kuat?

Kalau anda tidak percaya bahawa Hang Tuah benar-benar ada, tak mengapa. Anggap sahaja perbincangan ini satu interpretasi karya sastera.

Perlu juga diingat, samada kisah benar atau sekadar fiksyen, sesebuah karya tetap merupakan perlukisan sebenar masyarakat tika mana ia ditulis.

Semua fakta yang Demang kemukakan dalam 'waadat' adalah berasaskan teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.

Demang bukannya tanya orang, tonton drama atau dengar di kedai kopi.

Dalam kedua-dua teks tersebut Tun Tuah bukan sahaja kuat malah gagah dan hebat.

Tidak mampukah Tuah melawan sultan? Apatah lagi bendahara juga bersimpati dengan beliau.

Sebaliknya semasa Tuah dijatuhkan hukuman mati beliau langsung tidak membantah. Malah ketika bendahara membuat keputusan untuk tidak melaksanakan hukuman, Tun Tuah sendiri meminta dirinya dipasung.

Jika itu yang dikatakan takut, Demang setuju. Tun Tuah takut tidak dapat mengawal diri dan mengamuk menentang sultan.

Demikianlah pejuang tulin.

Bagaimana dengan DSAI?

Sepatutnya Anwar bersabar dan berkorban. Bukan untuk orang lain, bahkan untuk rakyat dan negara. Bukankah beliau mendakwa sebagai pejuang rakyat?

Anwar cuma perlu beralah.

Musa Hitam sudah melaluinya. Ghafar Baba merasainya. Ku Li, Rahim Tambi Chik, Muhamad M. Taib, dan beberapa nama lagi pernah mengikuti jejak Tuah itu.

Itulah pengorbanan sebenar pejuang. Rela mengorbankan kepentingan peribadi. Mereka tidak sekali-kali menagih simpati asing.

Pengorbanan mereka tidak sia-sia. Rakyat dan negara tidak huru-hara. Akhirnya jasa mereka dikenang jua.

Mereka manusia biasa yang sesekali melakukan kesilapan seperti kita juga. Ada emosi, ada nafsu, ada kelemahan dan ada kelebihan.

"Satu kesilapan besar apabila kawan dibuat lawan dan musuh disangka kawan."

DS Anwar perlu bermuhasabbah. Begitu juga kita, tak kira penyokong atau penentang.

Wallahu'alam.

Friday, June 27, 2008

Penyatuan PAS-UMNO?

Sahabat Demang dalam blog 'anginperubahan' menulis tentang kemasukan beberapa pemimpin PAS ke dalam UMNO. Benar atau spekulasi?

Sementara itu Demang sedang membuat sedikit kajian mengenai implikasi penyatuan PAS dengan UMNO namun belum siap sepenuhnya.

Pada pandangan Demang, para pemimpin kita lebih sayangkan perjuangan parti daripada perjuangan agama. Apabila timbul cadangan penyatuan UMNO-PAS maka soalan yang timbul ialah PAS masuk UMNO atau UMNO masuk PAS?

Bagi sesetengah peyokong parti tindakan menyertai sesebuah parti seolah-olah menganut agama baru manakala meninggalkan parti sama seperti meninggalkan agama.

Iktikad ini bersarang di hati yang merasakan golongan mereka sahaja yang memperjuangkan agama manakala golongan lain hanya mementingkan diri sendiri.

Seperkara lagi terdapat juga golongan yang sedar dengan kelemahan diri dan sering mengharap orang lain memahami kelemahan mereka sebagai insan biasa. Namun dalam masa yang sama mereka mengharapkan orang lain bersifat sempurna.

Demang teringat sebuah lagu M. Nasir. "Jangan kau mengaku hebat, jangan kau mengaku pintar jika egomu tak kau kalahkan."

*Bagi peminat M. Nasir pasti akan senyum-senyum sendiri membaca senikata di atas sebab tak sama macam yang M. Nasir nyanyi..! Maaf la, Demangpun ingat-ingat lupa. Dah tua...! Kalau dulu, berapa kali bunyi tamborin dalam lagu M. Nasir pun Demang boleh hafal.

Jumpa lagi. (Out station 2-3 hari).

Thursday, June 26, 2008

Tuah: Pengampu atau Pembodek?

Perkataan 'ampu' dicatat dalam kamus DBP (edisi 4, 2005) seperti berikut:

1. sl: Menahan di bawah (dgn telapak tangan), menyokong dr bawah (supaya tidak jatuh, runtuh, dsb),

2. sl: = 'mengampukan' iaitu memerintah (negeri, kerajaan):

cth: yg pertama mengampukan negeri Pasai ialah Sultan Malikul Saleh.

Perkataan 'pengampu' pula dicatat seperti berikut:

1. Penahan, penyangga, penyokong; ~ susu baju dalam perempuan, coli, kutang;

2. Orang yang memerintah negeri;

3. Orang yang menjaga keselamatan seseorang, wali, orang tua;

*4. Orang yg suka mengangkat-angkat (suka menyanjung) seseorang.

Sementara itu 'ampu' atau 'empu' dalam bahasa Minangkabau apabila diganding dengan kaki (~ kaki) bermaksud ibu jari kaki.

Manakala kata 'bodek' dicatat dalam kamus yang sama sebagai:

1. bk: kemaluan laki-laki;

2. = sakit ~ burut: burut atau ~ ialah penyakit pasang-pasang (angin pasang?);

Apabila diberi imbuhan menjadi:
Membodek = menyanjung, memuji dsb terhadap seseorang

3. bp: mengangkat, mengampu, mencari muka:
Contoh, dia kuat ~, sebab itu dapat naik pangkat;

*3. ki: mengangkat, menyanjung (utk menyukakan seseorang supaya mendapat sesuatu faedah daripadanya):

Contoh: siapa yg pandai ~nya akan mendapat segala sesuatu daripadanya; ~ bodek
(bk. mengangkat (supaya mendapat sesuatu).

Perhatikan pada maksud no 3 perkataan di atas terdapat label 'ki' (kiasan).
Ertinya perkataan tersebut hanya kiasan.

Label lain yang digunakan termasuklah 'sl' (sastera lama), 'bp' (bahasa percakapan), 'bk' (bahasa kasar), dan 'ki' (kiasan).

Demang merasakan kata 'ampu' pada asalnya bersifat positif tetapi disalahguna untuk tujuan menyindir dan mengejek. Demang rasa motifnya ada dua: MALAS tapi DENGKI dan DENGKI tapi MALAS.

Apabila Demang semak kamus DBP Edisi Baru (1989) Demang dapati maksud yang menyindir tersebut tidak begitu ketara. Cuma perkataan 'bodek' dicatatkan di hujung keterangan bagi menunjukkan ada kaitan antara kedua-dua perkataan itu dalam pengucapan harian.

(samada sengaja atau tidak, nampaknya telah berlaku penambahan maksud dalam kamus 2005).

Dengan kata lain istilah 'ampu' digunakan untuk menyindir hanya sejak belakangan ini.

Demang berpendapat penyalahgunaan istilah tersebut amat merugikan orang Melayu. Malah mangsa pertama yang dijadikan korban istilah tersebut ialah Laksamana Tun Tuah sendiri.

Jika demikian suratannya, maka Tun Tuah memang seorang PENGAMPU tetapi BUKAN pembodek.

Jika Tun Tuah tidak sanggup mengampu, Kesultanan Melaka bukan roboh pada 1511 malah lebih awal dari itu.

Hal ini boleh kita lihat melalui tindakan-tindakan beliau yang dinukilkan dalam Hikayat Hang Tuah (HHT).

Awas! Jangan sekali-kali gunakan filem atau drama kontemporari sebagai rujukan.

(bagi yang belum membaca artikal Demang sebelum ini silalah berbuat demikian kerana artikal ini adalah kesinambungannya).

Peristiwa menyelamatkan kuda sultan yang terjatuh ke dalam lubang najis adalah contoh terbaik untuk kita melihat peribadi hebat Tun Tuah.

Malangnya kisah ini sering dilihat dari sudut negatif iaitu kesetiaan membabi buta Tun Tuah terhadap sultan.

Itu sebabnya Demang katakan, rujuklah kitab HHT tersebut bukannya sekadar menonton filem dan drama yang berselindung disebalik nama Tuah atau Jebat.

Dalam HHT diceritakan pada suatu hari kuda kesayangan sultan telah terjatuh ke dalam lubang najis. Malangnya tiada seorangpun pembesar, hulubalang mahupun perajurit yang sanggup menyelamatkan kuda tersebut.


Dalam hal ini Demang nak kemukakan beberapa soalan untuk anda:

1) siapakah yang sepatutnya bertindak menyelamatkan kuda tersebut?
Jawapan: siapa sahaja yang berada di situ.

2) apa perasaan sultan jika tiada yang sanggup memenuhi permintaan baginda?
Jawapan: sultan dukacita atau murka.

3) apa kesannya kalau sultan murka?
Jawapan: "lu pikir la sendiri..."

Justeru tindakan Tun Tuah tersebut bukan semata-mata untuk kepentingan diri sendiri sebaliknya menyelamatkan orang lain daripada kemurkaan sultan.

Ingat, Tun Tuah mengampu kesultanan BUKAN membodek sultan.

Selepas peristiwa menyelamatkan kuda tersebut Tun Tuah semakin disayangi sultan. Rujuk HHT ms 242-251 (naskah DBP, susunan Kassim Ahmad 1975).

Menyedari bahawa sultan sangat sayang padanya, maka Tun Tuahpun mengambil kesempatan sebagaimana kutipan berikut:

Hatta berapa lamanya, selang daripada lepas kuda itu, maka raja pun terlalu kasih akan Tun Teja itu. Maka Laksamana pun berkata pada Bendahara dan Temenggung, “Adapun penglihatan diperhamba, Duli Yang Dipertuan ini jaranglah pergi ke istana tuan putri. Pada bicara sahaya, datuk kedua berdatang sembah, kerana Betara Majapahit itu raja besar; akhirnya tiada baik datangnya.” Setelah Bendahara dan Temenggung mendengar kata Laksamana itu, katanya “Pada bicara sahaya pun demikianlah. Siapatah yang dapat persembahkan? Pada bicara sahaya pada masa ini hanyalah Laksamana yang dapat menegur baginda sedikit.” Maka sembah Laksamana, “Jika dengan sabda datuk kedua, beranilah sahaya datuk berdatang sembah.”

Nota:
1. Tun Teja adalah anak penguasa Pahang yang dilarikan oleh Tun Tuah untuk diserahkan pada Sultan Melaka.
2. 'Tuan Putri' dalam petikan di atas adalah anak Raja Majapahit. Puteri ini adalah isteri pertama sultan. Tun Teja adalah isteri muda sultan.
3. Tun Tuah tidak mahu rakyat menyalahkannya kerana beliaulah yang membawakan Tun Teja kepada sultan sehingga sultan tidak lagi memperdulikan puteri Majapahit itu.
4. Tingkah laku sultan yang mengabaikan anak raja Majapahit tersebut boleh mendatangkan kemarahan raja Majapahit.
5. Bendahara dan Temenggung adalah pembesar yang lebih kanan.
6. Laksamana dalam petikan di atas ialah Tun Tuah. Beliau sangat disayangi oleh sultan kerana terlalu banyak berjasa.
7. Sultan tersebut ialah Sultan Mansur Shah.

Selepas mendapat kebenaran dua orang pembesar yang lebih kanan, Tun Tuah pun mengadap sultan. Beliau mengingatkan sultan bahawa beliau bertanggung jawab ke atas keselamatan negara selaku Laksamana. Oleh itu adalah wajar beliau menegur sultan.

Meskipun sultan amat sayang kepada Tun Tuah, namun baginda berusaha untuk tidak mencampurkan urusan peribadi dengan urusan negara. Lihat respon sultan:

“Apa Laksamana hendak sembahkan kepada kita itu? Katakanlah kepada kita. Kita dengar. Jikalau benar, kita ikut. Jikalau tiada benar, tiada kita ikut.”

Berdasarkan kutipan di atas, kita dapat lihat Tun Tuah begitu bijaksana dan amat prihatin:
1) menjaga maruah sultan sambil melindungi orang lain daripada kemurkaan sultan
2) menghormati pembesar lain walaupun beliau boleh terus menemui sultan
3) mengambil kesempatan (atas kepercayaan sultan kepadanya) untuk menasihati sultan demi kepentingan negara
4) sentiasa meletakkan kepentingan negara sebagai perkara paling utama
5) sedar bahawa apabila diri sudah dipercayai barulah mudah untuk berbakti



Cuma agak sukar Demang untuk memberikan jawapan apabila timbul soalan:

"Jika begitu, kenapa Tun Tuah difitnah dan dihukum bunuh oleh sultan tanpa usul periksa?"

Tapi jika anda ingin jawapannya, nantikan sambungan kisah ini...

Wallahu'alam.

Tuesday, June 24, 2008

Tuah-Jebat : versi lama vs versi baru

Sambil melayari internet, telinga masih sempat menangkap kisah Tuah dan Jebat yang disiarkan TV2 malam tadi.

Demang percaya majoriti orang Melayu mengetahui kisah tersebut daripada filem semata-mata.

Barangkali sebahagian kecil sahaja yang pernah membaca kisah tersebut daripada teks Hikayat Hang Tuah.

Demang teringat sindiran Prof Dr Haron (Pusat Pengajian Ilmu Kemanusian, USM):

"Sayapun tidak tau dari mana sumber mereka ambil untuk 'bikin filem' tersebut. Yang jelas, cuma nama-nama watak sahaja yang serupa dengan epik Melayu, yakni seorang dipanggil Tuah dan seorang lagi digelar jebat.

Padahal kandungan ceritanya menyimpang jauh sehingga membawa konotasi berbeza dari teks asal.

Menurut Prof Dr Haron, perubahan interpretasi terhadap kewiraan Tuah-Jebat bermula sekitar 60-70an. Antara pencetus idea tersebut ialah Kassim Ahmad yang diketahui sebagai salah seorang pejuang sosialis.

Prof Madya Dr Suhaimi (PPIP USM) meletakkan karya sastera yang muncul ketika itu sebagai beraliran moden.

Bagi yang mengikuti perkembangan sastera tentu tidak sukar memahami aliran tersebut yang menekankan 'seni untuk seni'.

Malah sesiapa yang hidup pada zaman itu juga akan sedar 'kelainan' karya-karya yang muncul tika itu.

Karya-karya tidak lagi membawa mesej atau moral cerita. Sebaliknya berlegar pada keindahan seni semata-mata.

Bagi anak-anak muda zaman itu yang tidak berminat dengan sastera, mereka terdedah pula dengan budaya hippies.

Bagi yang masih mengingati, anak muda gemar berambut panjang dan kusut masai, berseluar jean lusuh dan yang paling penting: jarang mandi.

Di celah-celah pengaruh aliran moden dan kecelaruan budaya hippies itulah penggerak sosialis menyelitkan idea sosialis mereka.

Permainan halus puak sosialis adalah bertujuan melemahkan pengaruh raja. Caranya ialah dengan menghalalkan penderhakaan terhadap raja.

Filem yang disiarkan semula oleh TV2 malam tadi jelas bertujuan mengumpan simpati rakyat terhadap Jebat sekali gus mengecam Tuah yang tidak menghargai pengorbanan seorang sahabat.

Ekoran dari itu watak Tuah bukan sahaja tidak dihargai malah menjadi bahan ejekan serta cemuhan orang ramai.

Tuah dilempar dengan pelbagai gelaran yang menghina seperti pembodek, pengampu malah penjilat...

Implikasi kerosakan yang timbul dari dakyah ini amat dahsyat. Orang Melayu menjadi amat fobia dengan gelaran pengampu dan pembodek.

Itu bukanlah masalah sebenar kita (pengampu dan pembodek tulin memang tidak dialu-alukan).

Dilema sebenar bermula apabila definisi ampu dan bodek dibuat wewenang sehingga sebarang kebaikan dan kebajikan yang dilakukan terhadap orang atasan dikatakan ampu dan bodek.

Bersambung

Monday, June 23, 2008

Kisah arwah abang mail

Artikal ini juga boleh dibaca di blog baru saya: cerminmuka.blogspot.com

Aku kenal abang Mail kerana isterinya kak Baidah berniaga di kantin sekolah tempat aku bertugas.

Itulah sekolah pertama aku. Ia terletak berhampiran sungai Pahang. Jumlah murid setiap tahun tidak pernah melebihi 50 orang dengan guru seramai 6 orang (termasuk guru besar). Tiada kerani dan tiada pekerja am tetap.

Abang Mail bekerja sebagai pemandu Felcra. Cuma sesekali aku dapat berjumpa atau berbual dengannya. Dia berasal dari kedah: persamaan yang mempercepatkan silaturrahim antara kami.

Isterinya orang kampung itu. Mereka mempunyai 8 orang anak. 3 di sekolah menengah, 3 di sekolah rendah dan 3 lagi belum bersekolah.

Aku sering teringat pada Abang Mail kerana perkara ini:
Suatu hari dia memberitahuku dengan gembira bahawa dia dapat kembali bertugas di Kedah. Dia amat bersyukur meskipun perkhidmatannya cuma tinggal kurang dari 10 tahun sahaja lagi.

Abang Mail juga memberitahuku bahawa dia telah menandatangani surat pilihan untuk meneruskan potongan KWSP. Ini bermakna dia atau warisnya tak berhak mendapat pencen bulanan selepas bersara.

Aku merasa hairan dengan pilihannya. Aku beritahu Abang Mail kelebihan skim pencen. Malah kerajaan amat menggalakkan pilihan itu.

Kerajaan membuka pilihan KWSP kerana ada segelintir kakitangan awam yang memintanya. Atas semangat demokrasi maka rakyat diberi peluang menentukan pilihan sendiri.

Memanglah, setiap pilihan tersebut ada kebaikan dan kelemahannya.

Abang Mail mengaku kebenaran itu. Malah dia memang awalnya bercadang memilih skim pencen. Namun di saat akhir beberapa orang teman telah 'menasihati'nya agar memilih KWSP.

Menyedari kesilapan itu Abang Mail cuba menukar semula pilihannya selepas beberapa bulan. Namun permohonan tersebut tidak dibenarkan lagi.

Tidak lama selepas itu Abang Mail bersama isteri dan 8 orang anaknya pun pindah ke Kedah.

Beberapa bulan kemudian aku terserempak dengan kak Baidah di pejabat sekolah. Dia sedang menguruskan pertukaran semula anak-anaknya ke sekolah itu.

"Abang Mail dah meninggal dunia. Kemalangan di Kodiang." Kak Baidah melupuskan kehairananku dengan sayu.

Aku tergamam. Bukan tak percaya takdir. Banyak yang menerawang dalam kotak fikirku.Yang utama, siapakah kawan-kawan abang Mail yang berjaya mempengaruhinya menukar keputusan?

Mempengaruhi orang lain tidak sukar tetapi sanggupkah bertanggung jawab apabila pendapat kita diterima orang?

Siapa nak tolong jawab apabila balu dan anak-anak yatim itu bertanya, kenapa ayah kami tiada wang pencen?

Itu kisah 15 tahun lalu.

Sekarang, oleh kerana terdapat ribuan blog di internet maka para blogger berkongsi dilema yang sama: iaitu untuk menyatakan kebenaran, mempertahankan sudut pandangan, dan mengekalkan populariti.

Bagi yang ingin blognya popular, maka tulislah cerita sensasi.

Perlu diingat dalam keghairahan kita menyuarakan pandangan peribadi atau kelompok kita, dibimbangi ada pendirian tersebut yang salah. Kasihan kepada yang mempercayainya dan akhirnya merosakkan atau merugikan mereka.

Di manakah anda? Tepuk dada tanyalah...iman.

Wallahu'alam.

Menyuburkan situasi menang-kalah

Artikal ini juga boleh dibaca di blog baru saya: cerminmuka.blogspot.com

Ayah: Dapat nombor berapa?
Anak: Nombor dua.
Ayah: Ai, dulu kan nombor satu? Apasal turun?
Anak: Ada budak baru masuk. Dia dapat nombor satu. Padahal markah saya semua meningkat.
Ayah: Masalahnya, kau dah nombor dua! Ayah nak kau LAWAN budak baru tu. Kalau dapat nombor satu, ayah belikan helikopter kawalan tu.


Demikian sebuah episod lazim yang berlaku pada hampir semua keluarga di negara kita dan mungkin juga di dunia.

Apa masalahnya?

Ramai menyangka kejayaan hanya boleh diraih sekiranya pesaing mereka dapat dikalahkan.
Ini yang dikatakan situasi "menang-kalah."

Padahal dunia ini bukan gelanggang perlumbaan. Malah bukan juga medan pertandingan.

Budaya 'ranking' yang disemai sejak di bangku sekolah akhirnya membiak subur dalam jiwa generasi demi generasi. Ia menenggelamkan semangat tolong menolong disamping menggalakkan hasad dengki.

Jika adapun kerjasama ia lebih tertumpu pada usaha bagi mengalahkan kelompok lain.
Apa yang berlaku sebenarnya?

Sistem 'rangking' tidak banyak membantu meningkatkan kualiti sebaliknya mungkin hanya membandingkan antara yang baik dengan yang kurang baik.malah kadangkala ia sekadar membandingkan antara yang lemah dengan yang lebih lemah.

Contohnya, jika Ali mendapat markah 40 sedangkan rakan-rakan sekelasnya mendapat markah lebih rendah dari itu maka Ali mendapat nombor satu.

Nombor satu boleh diperolehi melalui dua cara iaitu berusaha mendapatkan markah yang lebih tinggi daripada pesaing ataupun berusaha agar pesaing mendapat markah lebih rendah.

Implikasi

1) Perbincangan menjadi perdebatan.
2) Kawan menjadi lawan.
3) Timbul kelompok pencadang dan kelompok pembangkang.
4) dan sebagainya.

Adegan yang ingin kita lihat

Ayah: Dapat berapa A?
Anak: 19A.
Ayah: Ai, dulu kan 20A? Apasal turun?
Anak: Pelajaran makin susah la ayah. Tapi, ada budak baru masuk. Dia dapat semua A.
Ayah: Bagus. Ayah nak kau KAWAN dengan budak baru tu. Kalau kau berdua dapat semua A, ayah belikan helikopter kawalan tu sorang satu.


Wallahu'alam.

Sunday, June 22, 2008

cerminmuka: siaran 1

Artikal ini juga boleh dibaca di blog baru saya: cerminmuka.blogspot.com

Petang semalam aku hadir satu meeting yg agak m'bosankan. Apatah lagi aku cuma ahli biasa dalam persatuan tu. Tak banyak yang boleh kubantu.

Bagi mengisi masa lapang, kukeluarkan 'smartphone' (SP) ku. Aku menukar ketetapannya kepada 'senyap'. Jadi jika ada panggilan, ia tak mengganggu mesyuarat.

Kemudian aku buka 'note pad' SP tersebut. Jadi sepanjang mesyuarat selama hampir 2 jam tu, dapatlah aku siapkan satu artikal.

Dalam pada tu sesekali aku sempat juga melihat rakanku yang menjadi pengerusi berhempas pulas mengendalikan mesyuarat.

Pedulikanlah. Lagipun aku tengok dia pun tak pedulikan aku sangat. Sibuk menerangkan entah apa-apa.

Sebenarnya aku ada beberapa idea untuk dicadangkan. Namun entah kenapa rasa malas pulak. Tak kuasa aku nak bertengkar bila cadangan aku dipertikai nanti.
Lagipun kalau diterima, aku jugak yang kena laksanakan.

Akhirnya mesyuaratpun ditangguhkan. Aku segera bergegas keluar sebab belum solat zohor lagi. Tadi tak sempat. Mesyuarat mula jam 2 petang.

"Hai, tak kan tak minum dulu?" kawanku yang jadi pengerusi tadi menegur.
"Sori Ron. Aku belum solat." jawabku.

Malam itu kucapai "SP"ku untuk membuat panggilan. Rupa-rupanya ada 5 sms dan 3 panggilan tak dijawab yang tidak kusedari. Rupanya aku lupa menukar ketetapan kepada 'normal' selepas mesyuarat siang tadi.

Kubuka satu sms, dr Harun:
"Man, kau marah aku ke? Mesy tadi langsung tak ambik bahagian. Asyik dgn sms je.."

Aku terkedu. Harun dah salah sangka. Malah sms tadi pun belum kujawab.
Hari ni aku dah lukakan hati seorang teman.
Padahal aku yg cadangkan dia jadi pengerusi dulu.

Ok lah. Aku nak reply sms Harun dulu. Nak minta maaf. Lain kali aku akan tumpu perhatian pada mesyuarat. Aku akan simpan hp dan beri sokongan pada persatuan kami tu.

Friday, June 20, 2008

Warkah 2

Ayahanda Tun yang dikasihi,

Demang melihat pemimpin pembangkang bukanlah pendengki kepada kerajaan. Malah mereka adalah orang yang amat prihatin dengan masa depan negara. Mereka mempersoalkan hampir semua tindakan kerajaan bagi memastikan sebarang kelemahan dapat diminimumkan.

Demang percaya Tun lebih arif tentang itu.

Cuma mereka terlebih agresif. Hal ini kerana mereka perlu memperlihatkan kepada rakyat bahawa mereka benar-benar serius.

Malangnya rakyat menyangka para pemimpin benar-benar bergaduh. Rakyat tidak tahu di belakang mereka para pemimpin bergelak tawa dan bergurau senda.

Demang ingin membawa gagasan baru. Persepsi rakyat perlu diubah agar lebih bersikap terbuka. Rakyat perlu sedar bahawa bukan hanya satu pihak saja yang sayangkan negara. Bukan mereka sahaja yang memperjuangkan agama.

Yang menggusarkan hati Demang ialah puak PKR. Perjuangan mereka bukan sahaja tidak jelas malah bersandarkan kemarahan dan rasa dendam.

Maafkan Demang jika berpendapat ini semua salah Tun.

Mungkin Demang silap tetapi kemarahan Anwar terhadap Tun lah yang mengheret beliau ke daerah yang begitu jauh. Terlencong dari perjuangan asal.

Namun Demang masih optimis dengan penyelesaian baru. Penyatuan Melayu tidak boleh dilengahkan. Tiada kompromi dan tiada alasan dalam perkara itu.

Tindakan lain Tun yang amat bahaya ialah mengekang dan mengurangkan kuasa raja. Padahal di situlah ketuanan sebenar Melayu. Andai satu hari nanti jawatan PM disandang pemimpin kaum lain, Demang tidak dapat bayangkan apa yang akan berlaku.

Tun juga telah mencampuri urusan mahkamah dan institusi kehakiman. Hal ini lebih mendatangkan keburukan berbanding kebaikan.

Demang faham, Tun tika itu berdepan dengan situasi semasa yang merugikan negara. Perilaku segelintir raja yang tidak sesuai dengan kedudukan mereka menggusarkan Tun.

Begitu juga dengan hakim-hakim yang membuat pentafsiran terhadap undang-undang sehingga merugikan kita. Tun rasa perkara itu perlu diperbetulkan.

Jika Tun ada alasan untuk mempertahankan tindakan Tun maka Paklah pun begitu juga. Tun telah alami sendiri getirnya sebuah perjuangan. Apatah lagi sehingga dicaci rakyat sendiri. Tidak adakah jalan untuk membantu Paklah?

Setidak-tidaknya biarkan beliau berdikari.

Bak kata kumpulan Senario, "tak boleh tolong lain, tolong diam boleh?"

Wallahu'alam.

Wednesday, June 18, 2008

Surat terbuka untuk Tun

Warkah 1

Kehadapan ayahanda Tun Dr Mahathir semoga dikurniakan kesihatan yang baik dan ketenangan serta kebahagiaan yang berterusan oleh Allah.

Pertamanya Demang memohon ampun ke hadrat Ilahi sekiranya terdapat kesilapan Demang dalam menanggapi permasalahan dan dalam mengutarakan pandangan ini.

Seterusnya Demang minta maaf kepada Tun andai warkah ini menjadikan Tun kurang selesa.

Tujuan Demang menulis ini sekadar pandangan yang Demang yakini. Barangkali pandangan Demang ini kurang hemat namun Demang percaya setiap maklumat yang melintasi sensori motor manusia pasti tidak terlepas daripada jamahan minda mereka, kendatipun tidak dijana sepenuhnya.

Pastinya Tun juga tidak terkecuali.

"Kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan."

Bagi Demang itulah yang ingin Paklah ucapkan tatkala Tun menawarkan jawatan PM kepadanya dulu.

Di pihak Tun pula kenalah faham maksud tersirat peribahasa Melayu itu.
'Nyiru' adalah alat penting dalam masyarakat Melayu. Ia digunakan bagi menampi padi. Proses tersebut adalah untuk mengasingkan padi hampa dengan padi bernas.

Tun kena insaf bahawa pemerintahan Tun selama 22 tahun bukanlah terisi dengan jasa 100%. Banyak juga masalah yang Tun wariskan kepada Paklah.

Semua rekod itu pasti tidak 'kan dipadam begitu sahaja oleh musuh-musuh Tun. Seteru Tun sudah tentu dibaca sebagai seteru UMNO. Kini, Paklah ketuanya.

Justeru wajarlah Paklah menggunakan nyiru bagi menyisihkan 'padi-padi hampa' tersebut.
Setiap PM mempunyai caranya sendiri. Itulah sebabnya mereka diberi gelaran yang berbeza seperti 'Bapa Kemerdekaan', 'Bapa Pembangunan' atau 'Bapa Perpaduan'. Tun sendiri diberi gelaran yang lain pula: 'Bapa Pemodenan'.

Bukankah Tun membawa corak pentadbiran yang berbeza daripada Tun Husein?

Demang percaya Tun sendiri mengalami betapa perubahan tersebut tidak mudah diterima rakyat dan pemimpin di bawah Tun. Pelbagai tohmahan dihadapi oleh Tun.

Lupakah betapa Tun pernah digelar 'Mahazalim' dan 'Mahafiraun' dalam usaha Tun untuk mempertahankan pendirian?

Hanya setelah Tun melepaskan jawatan barulah rakyat sedar jasa-jasa Tun.

Demang percaya ramai kalangan yang merayu Tun agar kembali menjadi PM adalah orang yang pernah membenci Tun suatu masa dahulu.

Bersambung...

Monday, June 16, 2008

Siapa sebanarnya yang marahkan Paklah?

Demang syorkan buat aduan polis, jalankan penyiasatan, dan dakwa KJ dan rakan-rakannya yang kita syak terlibat dalam sebarang salah laku.

Jika ia bukan kes jenayah tetapi melibatkan masalah moral, gunakan saluran yang sesuai bagi mengenyahkan KJ dan konco-konconya, jika benar spesis itu wujud.

Jika tidak dapat dibuktikan, tetapi difikirkan boleh mengancam keselamatan negara, gunakan saja ISA.

Selesai yang itu.

Sekarang kita selesaikan masalah dengan Paklah pula.

Apakah kesalahan yang dilakukan beliau selaku PM yang memudaratkan atau memberi ancaman pada negara?

Demang tiada maklumat rasmi tentang itu. Setakat ini kebanyakan maklumat hanya diperolehi daripada bloggers. Yang Demang dengar ramai yang kurang senang apabila PM mengahwini wanita berbangsa Cina dan tidak memakai tudung. Lagi?

Ya. Demang dah mula ingat...

Perkara pertama yang Paklah buat sebaik menerima jawatan ialah menyeru sekalian rakyat bekerja bersama-sama beliau membina negara. "Bekerja bersama saya, bukan bekerja untuk saya."

Takkan yang itu pun salah?

Kemudian Paklah umumkan pendiriannya untuk membawa negara kembali kepada Islam dengan mengajak rakyat mengambil panduan daripada tokoh-tokoh dan ulama Islam seperti Al Ghazali dan lain-lain.

Demang fikir orang Melayu tiada masalah tentang itu. Orang lain entahlah.

Dalam pada itu Paklah mengisytiharkan pendekatannya bagi memperkasa modal insan berkonsepkan ulul albab.

Itupun tiada masalah, sepatutnya.

Seterusnya Paklah melihat tumpuan perlu diberikan pada industri asas tani. Sektor pertanian yang sinonim dengan orang Melayu itu perlu diperkasakan.

Demang fikir itu langkah bijak. Kegawatan ekonomi 1998 menyedarkan kita tentang kepentingan industri pertanian negara.

Apa lagi kesilapan Paklah? Islam hadhari? Hub halal? Melantik guru JQAF?
Demang akan komen kemudian perkara itu.

Satu lagi bidang yang mempunyai majoriti orang Melayu ialah kakitangan awam. Kelompok terbesar dalam wilayah ini ialah penjawat awam rendah dan pertengahan.
Di sini bermula 'kesilapan' Paklah. Niat baik Paklah mengagihkan kenaikan gaji yang lebih besar kepada golongan ini mencetuskan rasa tidak puas hati kalangan pegawai yang melanjutkan pelajaran. Mungkin kerajaan menganggap bilangan mereka kecil.

Sebenarnya golongan minoriti ini mempunyai peranan dan pengaruh yang besar ke atas masyarakat. Contoknya guru-guru berpengalaman yang telah lama berkidmat. Mereka amat dekat dengan masyarakat dan mampu mempengaruhi masyarakat di sekeliling mereka.

Protes daripada kelompok ini akhirnya menjangkiti kakitangan sederhana dan rendah apabila kerajaan memandang ringan tuntutan bonus kakitangan awam.

Bonus bukannya hak mereka tetapi sudah menjadi tradisi yang tidak boleh ditinggalkan. Jasa Paklah memberikan kenaikan lumayan kepada kakitangan awam tenggelam oleh kekecewaan akibat tiada bonus.

Isu kenaikan harga minyak bukan pencetus kepada cadangan menolak kepimpinan Paklah. Jadi Demang fikir tidak perlu dibincangkan dalam artikal ini.
Menyelusuri diari pentadbiran Paklah kita dapati hampir tiada alasan untuk orang Melayu menyingkirkan beliau. Orang lain, mungkin.

Pendapat ini dibuktikan dengan analisa PRU12 yang memperlihatkan bahawa penolakan ke atas BN bukan dilakukan oleh pengundi Melayu. Sebaliknya pengundi bukan Melayu seolah sepakat berpaling tadah.

Justeru Demang amat khuatir penyingkiran Paklah kelak akan disesali oleh orang Melayu di kemudian hari nanti.

Wallahu'alam.

Nota:
Demang lihat manusia yang digelar MahaZalim dan MahaFiraun 10 tahun dahulu kini dirayu-rayu agar sudi menjadi PM semula.

Sunday, June 15, 2008

http://anwaribrahimblog.com/2008/06/13/pertemuan-dengan-kjell-magne-bondevik/

Anak Reformasi Jun 13th, 2008 at 10:57 pm
Assalamualaikum Ayah Anwar….
Saya pasrah, saya terkilan dan saya sedih melihat gelagat PERDANA MENTERI KITA YANG KELIMA ini, tak lain dan tak bukan *** *** nih…… Saya terkejut lagi setelah kenyataan2 *** selama ini dikeluarkan oleh mulut seorang yang bergelar PERDANA MENTERI MALAYSIA dan hari ini sekali lagi beliau terus menerus menunjukkan ke***an beliau sendiri dengan menyatakan,
Di Press Conference Pak Lah di buletin utama malam tadi meminta dimana janji kerajaan pakatan rakyat untuk menurunkan harga minyak di negeri pakatan rakyat.Sedutan kata paklah :
“Dimana janji pakatan rakyat?! , turunkanlah minyak di negeri selangor atau mana2 negeri pakatan rakyat “..
sekian, terima kasih.
SAYA YANG RASER MALU DENgAN KE***AN SEORANG PEMIMPIN YANG DIBERI MANDAT MENJADI PERDANA MENTERI MALAYSIA…. Memang malu, seolah-olah selama ini beliau HANYA MEMBACA TEKS sahaja di ceramah2nya dan **NYA KOSONG tanpa ISI!!!
- Anakmu, Anak Reformasi.

Cheguman: Kali ini saya masukkan satu komen yang saya salin daripada blog DSAI. Menungkan:
Inikah generasi rakyat yang ingin kita lahirkan?

Ternyata rakyat begitu jauh dipengaruhi sehingga menganggap PM kita adalah sangat bodoh(?), gila(?), tidak tahu berfikir, tidak tahu buat keputusan, jahat, dan sebagainya.

Jika kita masih mampu mengingat, Tun DrM dulu juga diberi pelbagai gelaran seperti Mahazalim, Mahafiraun malah pernah dituduh murtad dan menghina nabi.

Mungkinkah kita sudah terlebih ajar rakyat kita sehingga ramai yang menyangka mereka lebih bijak daripada PM.

Bagi Demang itu semua sikap kurang ajar.

Wallahu'alam.

Saturday, June 14, 2008

Tun Pak Lah gesa PM letak jawatan

Keluarnya Tun Dr Mahathir (TDM) dari UMNO sekadar melengkapkan adat iaitu semua bekas PM akhirnya meninggalkan UMNO lantaran tidak bersetuju dengan cara tadbir pengganti mereka.

Pertembungan idea antara PM dengan mantan PM bukanlah sesuatu yang janggal atau aneh. Malah Tun DrM sendiri berkrisis dengan Tunku Abd Rahman dan Tun Husein Onn sehingga kedua-dua bekas PM tersebut enggan menjadi ahli UMNO lagi.

Kini, Tun DRM selaku mantan PM berkrisis pula dengan PM yang dilantiknya sendiri. Pun, bukan perkara yang baru cuma ini yang terbaru.

TDM pernah berkonflik dengan dua orang timbalannya iaitu Tun Musa Hitam dan DS Anwar Ibrahim. Malah DSAI akhirnya dipecat atas pelbagai tuduhan. Persengketaan berlarut hingga kini.

TDM pernah ditentang oleh Tengku Razaleigh Hamzah (KuLi) bagi jawatan Presiden UMNO. TDM menang tipis.

Dalam pada itu TDM juga pernah berkrisis dengan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas. Beliau juga berkonflik dengan majlis peguam.

TDM turut berkrisis dengan raja-raja sehingga berlakunya pindaan perlembagaan yang mengurangkan kuasa raja.

Demang percaya dalam kes ini masih ramai orang Melayu yang belum lupa akan konflik-konflik TDM dengan 'bapa-bapa' dan Tun-tun itu. Juga dengan lain-lain pihak.

(Namun bagi yang 'mudah lupa' tak dapatlah Demang nak ulang semua sekali di sini. Lagipun perkara tu dah berlalu. Saranan cendikiawan agar belajar daripada sejarah bukan bermaksud kita kembali ke cara lama).

Siapa betul dan siapa salah?

Demang berpendapat TDM betul pada zamannya dan Paklah pula betul pada zaman beliau, yakni sekarang.

Jika TDM yang 'banyak masalah' itu dibenar membuktikan bahawa pendapat dan tindakannya betul, kenapa kita tidak bersedia membantu Paklah menunaikan pemikirannya pula?

Jika kita imbas kembali secara jujur era pentadbiran TDM selama 22 tahun, sunyikah beliau daripada kritikan dan bantahan. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa hanya selepas beliau bersara barulah kebanyakan rakyat faham dan menghargai jasa dan tindakan beliau.

Sebenarnya majoriti rakyat sudah boleh menerima kepimpinan yang baru. Buktinya walau pun kita nampak ada polemik, kacau-bilau sosiopolitik negara dan ditambah oleh kenaikan harga minyak tapi rupa-rupanya rakyat masih yakin dengan kerajaan.

Kajian terbaru, daripada 2000 responden yang terdiri daripada orang ramai di seluruh negara, menunjukkan 80% masih yakin dengan kerajaan.

Kadang-kadang kita terperangkap dengan desas-desus daripada media khasnya bloggers. Realiti lebih wajar dilihat menerusi kajian rasmi. Belajarlah membezakan antara fakta dan pendapat.

Kepada sahabat-sahabat blogger, mainkan peranan dan tanggung jawab bagi menyatukan ummah, bukannya menambah porak peranda.

Allah mengurniakan bakat menulis maka gunakanlah untuk kebaikan.

Jangan diturut hati yang geram. Apabila negara sudah kacau bilau dan tidak boleh lagi dikawal maka tunggulah saat kebinasaan kita semua.

Sekali lagi; apabila negara sudah kacau bilau dan tidak boleh lagi dikawal maka tunggulah saat kebinasaan kita semua.

Selesaikah masalah jika Paklah letak jawatan? Percayalah, apabila naik orang baru nanti maka orang baru itulah pula yang akan dihentam. Maka keluar pula berita berikut:

"Tun Abdullah gesa PM letak jawatan." Kitapun pakat sokong mantan PM itu... macam sekarang.

Wallahu'alam.

Persaraan pilihan

Nampaknya dalam beberapa hari ini kakitangan kerajaan sibuk menandatangani surat persaraan pilihan. Bagi segelintir pihak yang bimbang dipaksa menjadi 'hamba kerajaan' sampai tua, kini berasa lega apabila mendapati persaraan pada umur 58 tahun itu hanyalah satu pilihan (tidak wajib).

Maaf. Demang sebut 'hamba kerajaan' sebab istilah itulah yang Demang dengar dari mulut seorang penjawat awam.

Barangkali sukar dipercayai tetapi itulah hakikatnya. Bagi Demang pegawai yang begitu lebih baik bersara lebih awal, tak perlu menunggu umur 55, 56, atau 58. Jika sudah tiada minat, berhenti sajalah. Jangan menganiaya diri sendiri dan rakyat yang menjadi pelanggan.

Berbalik pada perbincangan asal, konflik yang timbul ialah samada hendak memilih persaraan 56 atau 58.

Bagi kakitangan yang berfikiran matang dan rasional mereka pasti memilih persaraan 58. Hal ini kerana jika satu hari kelak mereka ingin bersara lebih awal, mereka dibenarkan untuk berbuat demikian.

Sebaliknya jika seseorang itu menandatangani persaraan 56 maka beliau tidak dibenarkan lagi melanjutkan perkhidmatan kepada 58.

Itu adalah faktanya.

Ketika bersarapan pagi tadi, seorang rakan sekerja memberitahu bahawa beliau akan memilih persaraan 56. Saya mengajukan satu persoalan: "Engkau baru berumur 28 tahun. Kenapa perlu tergesa-gesa buat keputusan untuk 30 tahun akan datang?"

Memilih persaraan 58 bermakna kita menangguhkan keputusan bagi membuat pilihan. Dalam masa 10-30 tahun macam-macam boleh berlaku: perubahan pandangan, ekonomi, taraf pendidikan dan sebagainya.

Katakanlah pada usia 55 tahun anda memegang jawatan timbalan pengarah (siapa tahu?); Selepas dua tahun anda mungkin berpeluang menjadi pengarah. Malangnya 28 tahun sebelum itu anda sudah memilih untuk bersara pada usia 56 tahun! Masa tu barulah anda teringat semula pada nasihat Demang ni (Demang pun dah tak ada agaknya...)

Sebaliknya jika anda memilih persaraan 58 tetapi apabila anda berumur 55 tahun anda merasa bosan untuk berkhidmat maka anda boleh meminta untuk bersara lebih awal. Bukankah itu lebih fleksibel?

Meskipun demikian, di luar sangkaan Demang rupa-rupanya ramai yang memilih untuk membuat keputusan muktamad dan tidak bersedia untuk memberi peluang walaupun kepada diri sendiri. Kita gagal melihat hikmah di sebalik peluang yang diberikan.

Jumpa lagi.

Wallahu'alam.

Wednesday, June 11, 2008

P. Ramlee vs P. Batu Putih

Demang percaya jika kita sorok filem-filem P. Ramlee selama 50 tahun dan kita siarkan semula kepada umum selepas itu, generasi baru tika itu tetap akan meminatinya.

Demang rasa ramai yang bersetuju dengan pendapat tersebut.

Bagi Demang, filem-filem P. Ramlee bukan sekadar hiburan, bukan setakat satira, malah boleh menjadi pencetus idea kreatif bagi menyelesaikan masalah.

Sebagai contoh, mari kita imbas kembali kisah dalam Tiga Abdul. Filem tersebut mengisahkan 3 beradik yang cuba diperdaya melalui satu perjanjian yang berat sebelah. Akibatnya, Abdul Wahab dan Abdul Wahid terpaksa menjadi hamba lantaran gagal mengawal emosi dan mengambil mudah terhadap isi perjanjian. Mereka berdua juga bersikap defensif serta yakin mereka mampu mematuhi perjanjian tersebut.

Sebaliknya adik mereka iaitu Abdul Wahub berjaya merampas kembali hak mereka meskipun menandatangani perjanjian yang sama.

Abdul Wahub bertindak bijak dengan menyediakan perjanjian yang serupa dan berjaya mengumpan musuhnya menandangani perjanjian itu.

Hasilnya Abdul Wahub bukan sahaja mampu mengelakkan diri daripada dijadikan hamba malah berjaya menguasai semua musuh-musuhnya.

Sebenarnya kita menyimpan sejarah yang lebih hebat dari itu. Rasululullah pernah menandatangani sebuah perjanjian yang dianggap merugikan orang Islam. Namun dengan kebijaksanaan baginda perjanjian tersebut menjadi hikmah untuk mencapai kejayaan lebih cemerlang. (rujuk Perjanjian Hudaibiah).


Kembali ke masa sekarang. Kita kini terlibat dengan pelbagai perjanjian dan situasi yang mengikat kita terutama dengan musuh Islam. Kenapa kita perlu gentar? Bukankah kita ummat terbaik? Rujuk Ayat 110 dalam Surah Al-Imran.

Isu 1. Pulau Batu Putih.
Keputusan mahkamah dunia terhadap kes pulau Batu Putih sudah diperolehi dan tidak mampu dipertikaikan. Barangkali itulah keputusan terbaik untuk kita memandangkan kitapun tidak begitu peduli dengan pulau itu (?). Mungkin jika pulau Batu Putih itu sendiri dipanggil memberikan keterangan di depan juri, ia juga akan memilih Singapura sebagai tuan (pulau merajuk).

Bagaimana untuk menangani masalah ini?

Jangan tanya Demang. Memang Demang tidak mampu memikirkannya seorang diri. Namun kita boleh bermula dengan beberapa maklumat dan mari kita fikirkan bersama:

i) Pulau Batuan Tengah sah milik kita. Jarak antaranya sangat hampir malah dari segi geologi kedua-dua pulau tersebut bercantum.

ii) Sebuah lagi pulau di situ tidak bertuan. Bagaimana untuk memilikinya? Adakah pulau itu boleh memberi tuah kepada kita atau menjadi bala kepada yang memilikinya?

(Dalam filem Seniman Bujang Lapuk, melalui satu babak disampaikan mesej bahawa batu tidak mampu memberi tuah atau sial kepada pemiliknya. Namun jika kita kreatif batu itu banyak gunanya).

iii) Kenapa Singapura beriya mahukan pulau Batu Putih? Jawapannya boleh kita perolehi berdasarkan maklumat yang boleh dicari dan dikumpul. Kemudian kita fikirkan cara bagi merosakkan angan-angan mereka itu. Kerja-kerja merosakkan bukannya susah sangat. Ingat, peperangan adalah tipu muslihat.

Isu lain? Kita akan bincangkannya nanti, insyaAllah.

Wallahu'alam.

Tuesday, June 10, 2008

Debat Shahril - Salahudin

Demang baru sahaja menonton 'perdebatan' antara Datuk Shahril dengan YB Salahudin Ayub (Ketua Pemuda PAS). Bagi Demang sesi tersebut bukanlah sesi debat sebaliknya lebih kepada sesi bertukar-tukar pendapat di samping cuba memberitahu audien bahawa istilah orang kerajaan dan istilah pembangkang hanyalah sekadar istilah semata-mata. Tujuan utamanya adalah untuk membina sebuah negarakota dan negarabangsa.

Demang ucapkan tahniah kepada saudara Salahuddin (YB) atas pandangan dan teguran yang disampaikan secara matang bagi mendapatkan kepastian terhadap isu yang dibangkitkan. Bagi Demang saudara Salahudin bukan menggunakan 'melayu' untuk kepentingan politik sebaliknya menggunakan politik bagi mempertahankan 'melayu'.

Demang juga ucapkan tahniah kepada Datuk Shahril yang kelihatan amat faham dengan isu yang dibincangkan serta mampu memberikan jawapan yang sesuai. Meskipun sesekali beliau mengambil kesempatan menyindir pembangkang namun Demang faham betapa letihnya beliau kerana setelah bertungkus lumus mencari jalan untuk menyelesaikan masalah rakyat, terpaksa pula berdepan dengan prasangka dan tuduhan seolah-olah barisan kerajaan sengaja hendak menyusahkan rakyat.

Demang sempat termenung sebentar dan membayangkan jika beginilah caranya para pemimpin kita berbincang, insyaAllah negara kita akan lebih hebat dan kehidupan rakyat juga akan lebih terbela.

Tahniah juga kepada pihak penganjur iaitu TV 1. Demang berpendapat program seperti itu perlu diteruskan.

Komen Demang: Audien sepatutnya tidak dibenarkan menghantar SMS sehingga forum berakhir. Hal ini kerana topik yang dibincangkan agak berat dan memerlukan tumpuan yang tinggi. Apabila audien sibuk membaca dan menulis SMS, mereka pasti akan tertinggal beberapa hujah penting daripada ahli panel. Akibatnya mereka memberikan respon tanpa benar-benar faham pendapat ahli panel. Dengan kata lain mereka hanya memberikan respon berdasarkan persepsi awal masing-masing.

Wallahu'alam.

Monday, June 9, 2008

Gunalah NGV

Assalamualaikum,
Demang amat bersimpati dengan keluhan dan rintihan rakyat akibat kenaikan mendadak harga petrol. Sebagai makluman kenaikan ini berpunca dari kenaikan harga petrol dunia dan penstrukturan semula subsidi bahan api tersebut (termasuk diesel).

Demang terbaca keluhan seorang pengguna yang berulang alik dari Melaka ke Putra Jaya (dalam blog Tun DrM) yang kini terpaksa membuat keputusan:
1) Berpindah semula ke KL.
2) Memberhentikan pengajian isterinya (belajar di Melaka, agaknya).

Demang ingin ringkaskan nasihat kepada saudara tersebut begini: Gunalah NGV. Itulah yang Demang lakukan 6 bulan lalu. Dengan modal RM3100 untuk belanja pemasangan, Demang dapat berjimat hampir TIGA KALI GANDA. Jika mengikut harga baru, barangkali dapat berjimat sehingga 5 kali ganda, rasa-rasanya.

Tiada modal? Pinjamlah. Demangpun buat begitu. Jika sebelum Nov 2008 Demang belanja tak kurang RM300 sebulan untuk petrol, mulai Dec 2008 Demang jimat RM200 sebulan. RM200 itulah untuk bayar hutang. Dalam tempoh 18 bulan hutang tersebut selesailah (termasuk faedah). Itu jika mengikut harga lama. Dengan mengambilkira harga baru ini, Demang rasa tak sampai setahun pelaburan untuk pemasangan tangki NGV tersebut akan berbaloi.

Demang tidak dapat menghubungi saudara yang mengeluh dalam blog Che Det tersebut dan membantu beliau. Kepada sahabat-sahabat, tolong sebar-sebarkan perkara ini: Jangan kita berfikir terlalu singkat. Mengeluh dan merintih bukan pekerti orang Islam. Jangan cepat mengalah. Demang faham saudara kita itu tadi merasa susah kerana isterinya sedang belajar dan hanya dia seorang yang bekerja.

Demang ingin berkongsi pengalaman bahawa Demang melanjutkan pelajaran (sepenuh masa) di Pulau Pinang bersama isteri. Jadi, kami sama-sama tidak bekerja dan hanya menerima pendapatan separuh daripada gaji. Kami juga membawa sama anak-anak berpindah dari Melaka ke Pulau Pinang. Alhamdulillah, kami berjaya menyelesaikan pengajian tersebut dengan sempurna meski terpaksa menempuh pelbagai rintangan dan ujian.

Ingatlah:
"Engkau umat terbaik dikeluarkan untuk manusia."
Al Imran: 110

Thursday, June 5, 2008

Harga Baru Petrol

Melihat kepada perkembangan terbaru dalam negara yang menyaksikan kenaikan mendadak bahan api di negara kita maka Demang terpaksa menangguhkan beberapa rencana yang sebenarnya telahpun siap tetapi belum disiarkan di sini. Berikut adalah pandangan Demang:

Demang fikir dalam kegusaran hampir semua pihak menghadapi struktur baru peruncitan petroleum ini, pihak-pihak yang ingin berfikir dan ingin turut serta memberikan sumbangan idea harus memberi tumpuan pada perkara-perkara berikut:

1. Apakah kelemahan kaedah subsidi sebelum ini?
2. Apakah kebaikan kaedah baru?
3. Apakah kesan ke atas sikap rakyat?
4. Bagaimana dengan pengangkutan alternatif?
5. Kemana peruntukan untuk subsidi lama dihalakan? Adakah terdapat keperluan & kepentingan rakyat di situ?
6. Adakah NGV mampu dan sedia menjadi pengganti kepada petrol?

Demang percaya sekiranya kerajaan jujur dan ikhlas dalam mengutamakan perkara-perkara di atas, insyaAllah rakyat akan memahaminya dan ikut membantu. Demang percaya ramai yang berasa ingin meminta maaf kepada kerajaan kerana keterlanjuran membuang undi tempohari.

Namun kerajaan perlu sedar bahawa rakyat bukannya bodoh jika mereka tidak begitu membantah; sebaliknya apabila rakyat memberikan kerjasama dan sanggup berkorban maka kerajaan sedang berhutang dengan rakyat.

Wallahu'alam.

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)