Atas permintaan beberapa orang sahabat blogger termasuk sdra Azli Shukri dan Panglima Perang Cyber, maka saya cuba memberikan pandangan saya terhadap perjuangan sebenar orang Melayu. Namun saya tidak berseorangan kerana landasan yg sama turut dikongsi bersama sahabat-sahabat seperjuangan saya. Cuma di sini saya memberanikan diri menukilkan kembali dgn cara dan interpretasi saya sendiri di sebalik perjuangan tersebut. Sebahagiannya adalah pendapat peribadi saya.
Untuk makluman, rencana ini juga telah saya emailkan kepada GGMM (http://gabungangraduanmuda.blogspot.com) yg telah mengemukakan surat jemputan utk berdebat kepada DATO’ ZAID BIN IBRAHIM seperti berikut:
Tarikh: 26 NOVEMBER 2008
HARI : RABU
MASA : 8.00 – 10.00 MALAM
TEMPAT : SPORTS PLANET FUTSAL,
LOT 37/38 JALAN P4/6
TAMAN TEKNOLOGI KAJANG,
43500 SEMENYIH,
SELANGOR
Selamat membaca dan silakan untuk memberikan pendapat. Maaf kerana mengambil masa anda lebih drpd biasa.---------------------------------
Jika dilihat pada semangat dan suara perjuangan Melayu hari ini, saya percaya kita tidak kekurangan pejuang. Cuma kita ketiadaan pemimpin yang mampu menyatukan semua pergerakan tersebut. UMNO ataupun PAS tidak boleh mengambil tanggungjawab itu lantaran kedua-dua pergerakan tersebut berada pada garisan yang berbeza, meski ada keselariannya (selari). Malah bagi saya, biarkan lah mereka memainkan watak dan peranan masing-masing asalkan membina impian yang sama.
Menoleh sejenak pada sejarah kegemilangan bangsaKita sering melihat sejarah Kesultanan Melayu Melaka pada titik kejatuhannya dan tidak cuba mengambil teladan dan inspirasi yang meletakkan Melaka sebagai sebuah empayar terhebat di zamannya. Apa perlu diratap akan keruntuhan selepas 110 tahun bertakhta? Andalusia juga tumpas setelah 700 tahun berkuasa. Rom juga begitu. Malah berlaku juga pada Majapahit, Rusia dan mungkin juga Amerika nanti. Kerajaan Moghul yang begitu hebat kini hampir tidak bersisa. Sehebat-hebat Firaun pun tewas juga akhirnya. Jika hendak disebut tentang kerajaan yang telah lenyap, habis satu muka suratpun masih belum cukup untuk menyenaraikannya.
Kira-kira tahun 1398 masihi Parameswara bermula di sebuah kampung nelayan di Melaka. Kurang dari 10 tahun kemudian Melaka sudah mengorak langkah ke persada antarabangsa. Tidak sampai 20 tahun Melaka sudah menjadi pusat pentadbiran, pusat perdagangan, pusat perkembangan ilmu, dan pusat penyebaran Islam, terkenal di seluruh dunia. Ingat, kita sudah lebih 50 tahun merdeka! Di manakah kita?
Apakah rahsia di sebaliknya?SISTEM. Itulah petuanya. Semua orang tahu tentang itu. Namun ramai yang sudah lupa tentang sistem yang kerajaan Melaka gunakan. Sistem tersebut bukan direka Parameswara ketika bertapak di Melaka. Malah telah dimulakan oleh Demang Lebar Daun dengan termeterainya persetiaan dengan Sang Sapurba di Bukit Saguntang. Perhatikan: ‘persetiaan’ bukan setakat ‘perjanjian’.
Parameswara sekadar mengaplikasikan sistem tersebut di Melaka, dan ia berhasil. Malah amat berjaya. Kita sudah melihat buktinya. Jangan risaukan tentang fakta kejatuhan Melaka. Tiada yang kekal. Malahan, apalah sangat yang nak kita persoalkan sedangkan sudah 51 tahun kita berusaha dengan sistem 'cacamarba' ini, negara kita belum lagi layak disamatarafkan dengan kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.
Tun Dr Mahathir telah membuktikan betapa tindakannya mengurangkan kuasa raja mengakibatkan impiannya musnah. Padahal jalan yang dirintisnya dilihat sudah hampir membawa negara ke tahap cukup tinggi di persada antarabangsa. Beliau berjaya membentuk dan mengetuai kelompok-kelompok negara tertentu. Beliau jauh lebih hebat berbanding mana-mana presiden Amerika.
Namun akhirnya beliau gagal sampai ke kemuncak.
Sebab? Sebagaimana hujah awal saya tadi, baik UMNO mahupun PAS (hatta mana-mana parti politik) takkan mampu membawa misi perjuangan Melayu ini.
Jika saudara-saudara ingin melakukan sesuatu, lakukannya mulai sekarang. Ambillah semula sistem yang telah terbukti berkesan. Hampir semua peralatan sudah tersedia. Cuma ambil dan mulakan kerja.
Asas Membina Negara yang perlu dipertahankanPertama, Perlembagaan Malaysia sudah cukup lengkap sebagai ganti 'waadat' yang agak longgar itu. Waadat adalah asas kejayaan empayar Melaka. Sultan Mahmud yang mangkat dijulang dan Laksamana Bentan telah menamatkannya. Tak perlu diungkit lagi. Kini ia telah dganti dengan perlembagaan bertulis dan dipersaksikan oleh seluruh dunia.
Kedua, Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Bukankah itu ketuanan Melayu sebenar? Taat dan setialah kepada baginda tanpa sebarang keraguan. Jika baginda bersalah, baginda akan dipertanggungjawabkan semuanya di hadapan Allah taala kelak. Adakah kita ragu tentang itu, atau kita bercita-cita untuk menongkat langit? Ingat, untuk mengawal bersin pun kita tidak ada upaya. Maka tawakkal lah kepada Allah.
Ketiga, Perdana Menteri sebagai ganti bendahara. Beliau mesti menjalin hubungan yang amat rapat dengan YDA. Dalam sejarah, sultan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan bendahara seperti anak saudara atau menantu. Apa sahaja bicara bendahara, itulah titah sultan. Kalau bendahara kata sultan patut pecat Ketua Pengadilan Negara, dan bagindapun setuju, maka sah lah pemecatan tersebut. Tidak ada dakwa-dakwi di belakang hari lagi.
Keempat, pemimpin atau pembesar. Semua pemimpin perlu menumpahkan taat setia hanya kepada sultan. Kita mempunyai barisan pemimpin yang bertanggung jawab menyusun dasar bersama-sama PM. Manakala sebahagian pemimpin lagi bertindak menegur dan membaiki kekurangan dan kesilapan. Mereka mesti berkhidmat kepada raja, bukan kepada parti masing-masing. Jauh sekali untuk menjadi ‘pesuruh’ kepada rakyat ataupun membentuk ‘pakatan rakyat’. Pembesar adalah pemimpin yang memimpin kelompok rakyat di bawahnya. Semua rakyat negara ini wajib menghormati setiap pembesar tanpa mengira parti politik. Pemimpin yang membimbing rakyat bukannya rakyat yang mengajar pemimpin.
Ulama adalah pembimbing dan penasihat kepada kerajaan. Kita bukan sahaja mempunyai mufti di setiap negeri malah PAS yang diketuai ulama’ mampu membantu kerajaan melakukaan perkara yang betul dan menegur sebarang kesilapan. Saya melihat hal ini berjalan dengan baik sehinggalah krisis politik 1999. Buktinya, PAS sehingga kini tidak pernah bertanding melebihi kuota sepatutnya sehingga memungkinkan mereka mengambil alih kerajaan. PKR memecah tradisi itu.
Sumber pendapatan raja dan pembesar sejak dahulu kala ialah melalui pungutan cukai daripada rakyat, khususnya para pedagang dan peniaga. Justeru para pembesar mesti membawa masalah rakyat untuk diketahui oleh sultan dan dicari jalan penyelesaian. Amalan tersebut berlaku sehingga hari ini. Bezanya sekarang mereka tidak lagi bermensyuarat di balairong seri sebaliknya mereka disediakan parlimen tempat mereka bersidang.
Satu lagi perbezaan ketara ialah perbincangan dahulu berlangsung dalam keadaan hormat menghormati, teratur, dan beradab. Kini, istilah biadab dan kurang ajar sudah tidak difahami lagi.
Sepatutnya, meski berbeza sekalipun pendapat antara mereka namun akhirnya semua mesti akur dengan keputusan ketua negara. Termaktub dalam perlembagaan bahawa YDA adalah ketua negara. PM tetap penasihat baginda. Bagaimana cara beliau melakukannya, terpulanglah. Namun jika beliau cuba menurunkan sultan daripada takhta maka semua pemimpin akan menentangnya. Dalam keadaan begini, sebarang keputusan sultan akan dipatuhi serta merta. Apabila itu berlaku barulah bendahara yang baru akan dilantik.
Kekuatan Ketua Negara (YDA) adalah bergantung pada para hulubalang dan panglimanya iaitu polis dan angkatan tentera. Maka ISA memang patut diletakkan di bawah kuasa baginda. Jika ada sesiapa yang cuba mengkhianati sultan maka orang tersebut akan ditahan tanpa bicara. Dalam hal ini sudah tentulah bendahara yang menjadi penasihatnya. Namun jika sultan mendapati bendahara cuba menderhaka maka baginda sendiri akan bertindak dengan seluruh jentera di bawahnya. Walaupun Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera dilantik atas nasihat bendahara, namun setelah menjawat jawatan tersebut mereka wajib meletakkan kesetiaan hanya kepada raja. Demikianlah contoh yang ditunjukkan Laksamana Tun Tuah. Beliau diambil dan dididik oleh bendahara tetapi kesetiaan tetap pada baginda sultan.
Pejuang lawan penderhakaPenderhakaan bermaksud menentang sistem. Sultan, bendahara, pembesar, dan seterusnya adalah sebahagian daripada sistem. Pejuang adalah pendokong sistem. Demikianlah yang dilakukan oleh Tun Tuah apabila beliau terpaksa membunuh sahabatnya.
Di mana letaknya Islam?Islam adalah intipati pada semua di atas. Pengislaman Melaka 1414 adalah titik-mula kejayaan Melaka. Islam membawa ‘roh’ ke dalam kerajaan sedangkan yang lain-lainya hanyalah kulit fizikal yang boleh terlucut bila-bila masa. Contohnya wang: Ia boleh digunakan di mana sahaja melainkan ketika berurusan dengan malaikat maut. Maka wang tidak layak menjadi pengawal sejati kepada manusia. Malah wang tidak pernah setia kepada pemiliknya. Konsep asas yang wajib dipegang ialah IMAN.
Kesetiaan kepada raja tidak akan berlaku jika tiada pemahaman dan penghayatan terhadap ajaran Islam. Taat kepada pemimpin dan negara adalah perintah Islam. Sebagai balasannya, di akhirat nanti sultan dan para pembesarnyalah yang pertama-tama diminta pertanggungjawaban atas semua yang berlaku semasa di dunia. Rakyat cuma menjawab atas dosa peribadinya tetapi raja dan pemimpin akan ditanya perlakuan rakyatnya.
Pendirian Malaysia terhadap orang Melayu dan Islam amat jelas. Perlembagaan kita mencatatkan bahawa orang Melayu adalah beragama Islam. Hal ini perlu difahami benar-benar oleh semua pihak. Kebelakangan ini makin ramai orang Melayu yang tidak memahaminya dan mempertikaikan perjuangan Melayu. Mereka dengan semangat berkobar-kobar menggesa agar perjuangan Melayu ditukar kepada perjuangan Islam. Mereka amat ketinggalan zaman kerana perlembagaan kita lebih awal lagi mendefinisikan istilah MELAYU yang amat berbeza dengan MELAYU di Indonesia.
Sebagai penegasan kpd yang belum faham, perjuangan Melayu di Malaysia adalah perjuangan Islam. Tidak boleh lain daripada itu.
Strategi perjuanganPerjuangan sebenar adalah bagi meletakkan hak yang sepatutnya, ke tempatnya semula.
Pertama, rakyat perlu diberi kefahaman tentang perlunya sistem ini dipertahankan dan diperkasakan semula.
Kedua, pemimpin yang enggan memahami sistem ini dengan sendirinya tidak layak menjadi sebahagian daripada sistem dan perlu diganti.
Modus OperandiPertama, mengenalpasti pemimpin atau calon pemimpin yang sanggup mempertahankan dan melaksanakan sistem ini.
Kedua, mengenalpasti, melatih dan memantau anak-anak muda yang berpotensi bagi mengambil tempat pemimpin yang sudah sampai masa kembali mengadap Ilahi.
Mahu tidak mahu, logik atau tidak logik, kehidupan di dunia pasti mempunyai kesinambungan dengan akhirat. Justeru tidak ada alasan untuk memisahkan keduanya dan menganggap ‘roh’ Islam dalam pentadbiran negara itu tidak perlu.
Kesultanan adalah sistem pemerintahan yang berkesinambungan daripada sistem kekhalifahan. Sistem khalifah adalah pengganti kepada khulafa’urrasyidin yang menjadi penerus perjuangan Rasulullah S.A.W.
Inilah perbezaan besar antara demokrasi yang dinukilkan oleh barat dengan sistem khalifah yang dilaksanakan oleh umat Islam. Abraham Lincoln tambah menyesatkan fahaman manusia dengan definisi demokrasi yang kabur iaitu dari rakyat, untuk rakyat, dan oleh rakyat.. Padahal sistem sebenar mesti melihat dari atas ke bawah, bukannya menyongsang iaitu dari bawah ke atas. Kerosakan teruk umat manusia ialah apabila ajaran sesat ini dianuti.
Allah taala mengutuskan Rasulullah sbg pemimpin teratas. Kemudian diikuti para sahabat. Apabila Rasulullah wafat baginda digantikan dengan khulafa’urrasyidin. Setelah itu diambil alih oleh bani Umaiyah, Abbasiyah, dan seterusnya sehingga Uthmaniyah. Ranapnya Andalusia, muncul pula Kesultanan Melayu Melaka.
Jangan ditanya bagaimana Umaiyah mengambil kuasa daripada Ali r.a. Allah taala melaksanakan takdirnya bagi merasionalkan penyebaran Islam ke kawasan yang lebih luas. Bukan Allah taala tidak berkuasa melakukannya dengan cara lain tetapi Alah taala menghantar isyarat kpd kita bahawa jika inginkan kejayaan, maka inilah caranya: sistem khalifah.
Kerajaan Islam tidak pernah mengamalkan demokrasi sebagaimana yang dianjurkan oleh pihak barat.
Adakah munasabah rakyat diberi hak memilih dan membuat keputusan melalui undi? Sudah tentu orang ramai akan memilih keseronokan dan mengelak daripada melakukan pengorbanan. Jika ada pemimpin yang menjanjikan pelbagai kesenangan maka dengan mudah pemimpin tersebut menjadi popular walaupun kesan jangka panjangnya merosakkan negara.
Bagi saya, jika saudara-saudara ingin mengembalikan perjuangan Dato’ Onn, maka inilah yang beliau perjuangkan. Pada tahun 1946, perjuangan beliau adalah bagi mengembalikan kuasa sultan-sultan. Kita masih berada pada landasan yang betul apabila memilih Tunku Abdul Rahman sbg PM yang pertama. Walaupun Dato’ Onn yang merancang, namun akhirnya Allah taala yang membuat keputusan. Sebenarnya perancangan manusia hanyalah sebahagian kecil daripada perancangan Allah taala.
Jalan yang lurus di hadapanKita sentiasa diberi Allah peluang untuk memilih dan menentukan masa depan. Meskipun segala-galanya dalam qada’ dan qadar Allah, namun tiada siapa yang tahu nasib kita di masa depan. Maka di situlah usaha kita. Jika pun matlamat perjuangan tidak mampu dicapai namun setiap tindakan kita akan direkod dan diberi balasan atau ganjaran setimpal. Semua catatan tersebut akan dikira satu persatu dan ditimbang bagi melayakkan kita ke syurga atau ke neraka.
Tulisan ini bukan suatu idea baru sebaliknya sekadar imbasan terhadap perkara yang saudara-saudara telah tahu. Malah inilah perjuangan sebenar sejak dahulu tetapi telah dikaburkan oleh pihak-pihak yang gagal memahami perjuangan sebenar. Mereka tiba ketika orang lain sudah berada pada separuh pendakian. Mereka dibawa terus ke pertengahan pendakian lantas mereka berkata, alangkah lemahnya orang-orang ini. Mereka melihat para pendaki terdahulu membawa tali. Mereka berkata apa perlunya tali padahal tiada tebing yang terlalu tinggi di sini. Mereka tidak tahu perjalanan awal sebelum ini memang memerlukan tali. Dan mereka juga tidak tahu apabila sampai di kawasan tertentu nanti, mereka terpaksa juga menggunakan tali.
Mereka melihat para pendaki di pergunungan bersebelahan mendaki dengan cara berbeza. Lantas mereka berkata betapa cara itu lebih berkesan dan mudah. Mereka lupa bahawa mereka di gunung yang berbeza.
Wassalam.