Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Kitab Ramuan & Petua Perubatan Herba

Thursday, July 31, 2008

Dilema: nasi sudah menjadi bubur?

Barangkali ramai yang keliru dengan tajuk Demang kali ini. Ketika muqabalah UMNO-PAS masih berlangsung, si Demang menulis sesuatu yang amat ditakuti oleh orang ramai.

Bagaimanakah nasi boleh menjadi bubur? Bolehkah nasi bertukar menjadi bubur?

Persoalan ini sebenarnya lebih mudah dijawab oleh orang yang tahu proses menanak nasi. Bagi yang tidak pernah menanak nasi, Demang nak berkongsi proses tersebut.

Mula-mula ceduk beras sebanyak dua pot (lebih kurang dua tin 'susu pekat manis') dan masukkan ke dalam periuk bersaiz sederhana. Basuh sebanyak tiga kali.

Kemudian, masukkan air kira-kira dua ruas jari melepasi permukaan beras.

Selepas itu, hidupkan api dapur gas anda.

Biarkan masakan itu di atas api sementara anda sekeluarga pergi membeli belah atau menonton wayang.

Perhatian: uji kaji ini tidak boleh menggunakan mana-mana periuk elektrik atau dapur automatik. Dapur kayu atau arang dibenarkan dengan syarat bahan apinya sentiasa cukup untuk tempoh dua jam.

Apakah yang terjadi beberapa jam selepas itu? Adakah anda akan memperoleh nasi atau bubur nasi?

Demang yakin anda akan kecewa untuk memperoleh salah satu atau kedua-dua perkara tersebut. Nasi tak dapat, bubur apatah lagi.

Mari kita buat uji kaji kedua. Demang ringkaskan arahan.

Kali ini kita jangan berkira soal jumlah air. Lagi pun penduduk Selangor dah dapat air percuma. Dengan mengekalkan kuantiti beras, masukkan air sebanyak yang boleh.

Sebagaimana prosedur tadi, tenggekkan di atas dapur yang menyala selama kira-kira dua jam. Jika air nampak berkurangan, sila tambah dari semasa ke semasa.

Kira-kira 10 minit sebelum masakan itu selesai, masukkan beberapa sudu gula ke dalamnya dan kacau.

Setelah selesai, hidangkan di dalam mangkuk. Untuk lebih sedap, tabur bawang goreng dan ikan bilis goreng. Perencah seperti sayur, daging atau ikan boleh dimasukkan lebih awal.

Sekarang, apa hasilnya? Nasi biasa atau bubur nasi?

Kita kembali pada persoalan tadi.

Jika kita mematuhi prosedur yang betul untuk menanak nasi, bolehkah ia menjadi bubur?

Hal ini bermakna, peribahasa tersebut sekadar sindiran, bukan melahirkan simpati sembarangan.

Mungkin anda pernah mendengar seseorang berkata:
"apa nak kata lagi, nasi dah jadi bubur."

Sebenarnya orang itu ingin berkata:
"kalau engkau ikut cakap aku, perkara begini tak kan terjadi."

Mesej lain peribahasa ini ialah:
"Patuhi lah nasihat."

Realiti:
1. Pertentangan pendapat antara DrM dan DSAI ketika kemelut ekonomi 1998 dulu telah memporak-perandakan negara. Keputusan DSAI untuk memilih plan pemulihan IMF ditentang DrM. Dengan mengabaikan soal ‘betul-salah’ kes liwat maka didapati krisis tersebut telah meletakkan negara dalam keadaan tidak stabil dan merbahaya. Maka sebelum nasi menjadi bubur, kedua2nya perlu berundur.

Perlu diingat bahawa keputusan melantik TPM adalah hak PM berdasarkan keperluan beliau. Hal ini bermakna PM boleh melantik dan boleh juga tidak melantik timbalannya.

Akibat kemelut 1999, TUN DRM telah bersetuju dengan jalan keluar yang dicadangkan iaitu meletak jawatan walaupun beliau juga berkeras sebelum itu. Sebaliknya DSAI menentang dan membuat keputusan: 'lawan tetap lawan' tanpa mempedulikan apa yang akan terjadi pada negara.

Kita faham perasaan beliau yang terasa aib seluruh keluarga. Namun kepentingan rakyat dan negara tentulah lebih utama.

Dipendekkan cerita maka DSAI terpaksa ditahan. Tak lama selepas itu Tun DrM pun meletak jawatan.

2008, DSAI kembali bebas dan meneruskan perjuangan peribadi dengan sokongan yang kuat. Pembangkang menjadi sangat kuat sehingga kerajaan sukar melaksana tanggungjawab.

Mari kita ambil iktibar dari kisah yang dipaparkan dalam blog Azli Shukri sebagai panduan. Kisah Saiyidina Umar dengan penghulu Bashrah.

Maka anda fikir apa patut kerajaan lakukan pada DSAI? Maksud Demang, apa perlu kita buat bagi mengelak nasi menjadi bubur?

Mutakhir:
Berkenaan laporan daripada sebuah hospital swasta. Nampaknya bukti terbaru ini memberi kelebihan pada DSAI, malah boleh dijadikan bukti kukuh bagi menimbulkan keraguan ke atas kes beliau apabila dibicarakan di mahkamah kelak. Demang fikir ini satu peluang untuk beliau menggunakan badan kehakiman negara bagi membersihkan nama beliau daripada pandangan serong rakyat. Demang fikir DSAI patut berusaha keras agar kes beliau dibicarakan secepat mungkin kerana bukti yang beliau tidak bersalah sudah ada.

Sunday, July 27, 2008

Ujian Prasekolah

Demang dapati hampir semua media hari ini memberikan liputan pada permuafakatan UMNO-PAS. Demang amat bersyukur. Barangkali inilah hikmah sebenar PRU12 yang lalu. Kepada rakyat bukan Islam, janganlah bergundah gulana atau risau. Islam tidak pernah menghalalkan kezaliman sesama manusia. Malah di dalam al-Quran ditegaskan: "Tiada paksaan dalam Islam" Yakni orang bukan Islam tidak boleh dipaksa memeluk agama Islam.

Sambil kita mengikuti perkembangan terkini permuafakatan tersebut, apa kata kita berehat seketika untuk isu Demang kali ini. Bacalah mengikut fahaman masing-masing.

***********************

"Cikgu, kenapa kita tak ada ujian?" Yasmin bertanya.

Aku tersenyum. "Kamu nak ujian ke?"

Kanak-kanak perempuan itu mengangguk, bersungguh-sungguh.

"Mana kamu tau tentang ujian?" aku menduga.

Yasmin terdiam. Barangkali dia tidak begitu memahami soalanku. "Di tadika dulu ada ujian?" soalku terus terang.

"Ada." jawabnya pendek.

Aku tersenyum. Teringat amaran keras Prof Madya Dr Hashimah semasa kuliah dulu:

"Kamu tak payah nak rajin sangat adakan ujian di prasekolah. Jangan rampas zaman kanak-kanak mereka terlalu awal. Sebaliknya buat pemerhatian berterusan. Gunakan rekod anakdot dan sebagainya bagi mencatat perkembangan mereka."

Persoalan murid tadi tentang ujian membuatkan aku terfikir tentang apa sebenarnya ujian?

Sejak menamatkan kursus perguruan pada 1990, salah satu tugasku ialah menyediakan ujian. Malah tanggungjawab tersebut sebenarnya merupakan satu ujian bagi seorang guru.

Sebagai seorang yang sering terlibat dengan program motivasi dan pembinaan modal insan, kadang-kadang para peserta kami diuji juga.

Namun, apa itu ujian?

Ujian berasal dari kata dasar uji (test). Istilah lain yang hampir sama ialah periksa (exam).

Ujian dibuat bagi mengesahkan sesuatu perkara. Contohnya jika kita ingin tahu sama ada gulai yang kita masak itu masin atau tawar maka kita akan mengujinya dengan cara menitipkan sedikit pada lidah.

Ketika aku di Jengka dulu sering juga aku ke ladang membantu ibuku menoreh getah. Alat utama dalam pekerjaan ini selain pokok getah ialah pisau penoreh getah. Pisau ini mestilah sentiasa tajam memandangkan tugas beratnya ialah untuk menoreh kulit kayu. Jika kita ingin menguji sama ada pisau penoreh getah itu sudah tajam atau belum maka cuba letak mata pisau itu pada kuku dan tarik ke bawah. Jika terasa licin maka mata pisau tersebut dianggap belum cukup tajam dan perlu diasah lagi.

Batu pengasahnya ada dua. Satu berpermukaan kasar dan satu lagi licin. Setelah itu diuji lagi dengan cara tadi. Jika terasa kesat hingga mata pisau tidak boleh bergerak pada permukaan kuku maka luluslah ujian itu.

Bagaimana pula jika anda tersilap uji sehingga jari anda terluka?

Semasa menjadi pelajar dulu, ujian bukanlah sesuatu yang disukai.

Yang jelas, ujian bukan sekadar soalan. Jadi, anda tidak boleh bertanya kekasih anda: "adakah awak setia?"

Sebagai makhluk, kita juga diuji oleh pencipta kita. Namun sebagaimana di sekolah, ujian untuk murid darjah satu tentu lah tidak sama dengan ujian yang disediakan bagi pelajar universiti.

Justeru apabila diuji, bersabarlah. Yakin dan percayalah bahawa Tuhan tidak pernah tersilap mengedarkan kertas ujian, cuma kita yang tidak membaca 'buku rujukan' atau 'manual' kehidupan yang telah disediakan oleh Maha Pencipta.

Demang: Sering diuji Tuhan selepas membuat 'posting' di sini. Ujian bagi mengelakkan 'cakap tak serupa bikin'.

Wallahu'alam.

Wednesday, July 23, 2008

Suatu pertanyaan

Kenapa bila kita mati roh kita tak boleh datang semula ke sini?

Saya hampir tidak percaya bahawa anak saya yang berumur enam tahun boleh mengemukakan soalan sebegitu.

Dari mana dia memperolehi soalan itu? Ibunya merangkap guru kelasnya menafikan mengajar soalan tersebut. Begitu juga neneknya yg juga guru mengajinya tidak pernah menimbulkan soalan sebegitu.

Cuma isteri saya mengaku bahawa pengetahuan tentang kematian dan hari qiamat memang diajar berdasarkan kandungan sukatan pelajaran prasekolah. Hal ini memang saya maklum kerana memang bidang saya. (lihat http://www.morhabshi.com)

Persoalan yg dikemukakan membuatkan saya terfikir dua perkara yg saya rasa elok dikongsi bersama.

Pertama, adakah kita sedar potensi sebenar anak kita? Apa yg mereka rakam (melalui sensori motor/deria), mereka proses (termasuk berfikir dan bertanya), dan mereka keluarkan (output) dalam bentuk tingkah laku (behavior)?

Kedua, pernahkah kita bertanya diri sendiri kenapa kita perlu mati setelah dihantar ke dunia ini?

Jika anda di tempat saya, apakah jawapan yg patut diberikan kepada si kecil itu?

Amalan kami suami isteri ialah 'memberitahu walaupun mereka belum faham.'

Sebenarnya saya tidak gemar memberikan jawapan secara terus sebaliknya membuka jalan agar mereka terus berfikir dan membina konsep sendiri.

Bagi saya, cepat atau lambat sesuatu perkara itu difahami tidak penting. Sebaliknya jika mereka sudah menguasai sesuatu konsep maka apa pun masalah yg didatangkan kemudian insya Allah dapat mereka selesaikan dengan lebih mudah.

Dalam situasi tadi saya menjawab begini:

"sebelum Haziq lahir, di mana Haziq duduk?"

"Dalam perut ibu," jawab anak saya.

"Ok. Sekarang Haziq dah ada di dunia. Boleh tak Haziq 'duduk' semula dalam perut ibu?" saya mengumpan lagi.

"Tak boleh," jawabnya.

"Maknanya, dulu kita di alam rahim, sekarang di alam dunia dan selepas ini di alam kubur (barzakh). Selepas itu kita semua akan berkumpul di alam akhirat. Tidak kira siapa yang mati dulu, semuanya akan berjumpa semula di akhirat." Saya memberitahu kedua-dua putera saya. Abangnya (9 tahun) turut mendengar sama.

"Haziq tengok. Dulu, Toknyang dan Tokji dah mati. Sekarang diorang dah berada di alam kubur. Nanti kita pula. Apabila semua orang dah mati, itu namanya qiamat. Lepas tu, kita semua akan berjumpa semula di alam akhirat." Saya menamatkan penerangan.

"Di 'alam' ke, 'dalam'?" Dia agak keliru.

"ALAM, bukan DALAM." Saya mempertahankan istilah itu tapi belum bersedia menjelaskan lebih lanjut.

Nampaknya kedua-dua putera saya mulai faham. Namun sudah tentu pemahaman mereka tidak sama dengan pemahaman kita. Tidak mengapa. Sekurang-kurangnya mereka telah bermula.

(saya pernah terbaca sebuah buku: seorang kanak-kanak bertanya bagaimana kita boleh bezakan antara mimpi dengan realiti?).

Sampai sekarang saya belum dapat jawapannya.

Wallahu'alam.

Sunday, July 20, 2008

Muzakarah secepat mungkin

http://www.utusan.com.my
KUALA LUMPUR 19 Julai - Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersedia untuk memulakan muzakarah dengan Pas secepat mungkin demi penyatuan bangsa dan agama.
Menurutnya, beliau tidak mahu perbezaan politik menjadi penghalang kepada perbincangan berkenaan.
"Saya amat ingin menjayakan perbincangan tersebut," kata Perdana Menteri dalam pertemuan dengan kumpulan-kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam ini.
Kata beliau lagi, perpaduan Melayu perlu diperkukuhkan kerana mereka sedang menghadapi cabaran-cabaran baru.
Abdullah juga mahu melihat perpaduan di kalangan masyarakat Islam negara ini kerana orang Melayu tidak dapat dipisahkan.
"Janganlah berbalah, akuilah kekuatan itu ada. Insya-Allah kita akan beroleh kejayaan," tegasnya.
Cadangan muzakarah sebelum ini telah dinyatakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu wawancara dengan lidah rasmi parti itu, Harakah minggu lalu.
Dalam wawancara itu, Abdul Hadi dengan nada tegas menyatakan, dalam menyampaikan mesej Islam, Pas berhak mengadakan rundingan dengan UMNO tanpa perlu merujuk dengan mana-mana parti dalam pakatan pembangkang.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kenyataannya bulan lalu turut menyatakan kesediaan bermuzakarah dengan pemimpin utama Melayu terutamanya UMNO bagi membincangkan kepentingan masa depan umat Islam.

Umno sudah tiga kali bertemu Pas (Mutakhir)
http://www.bharian.com.my
PUTRAJAYA: Presiden Umno, datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengesahkan Umno sudah mengadakan pertemuan sebanyak tiga kali dengan Pas. Namun pertemuan berkenaan tidak membabitkan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Catatan Demang: Jangan lah nanti ada orang yang kata “Alaa… tu la UMNO, dah tersepit baru nak mintak tolong PAS.” Demang fikir bukan UMNO yang tersepit. Lihat realiti berikut:

Pakatan Rakyat:
PERTAMA: PKR
KEDUA: DAP
KETIGA: PAS

Barisan Nasional:
PERTAMA: UMNO
KEDUA: MCA
KETIGA: MIC


Siapa yang paling lemah?

Friday, July 18, 2008

Perangai "budak-budak"

Ada 25 kanak-kanak dalam kelas saya. Tujuh lelaki dan selebihnya perempuan.

Ramai yang ingin ke depan, tapi tak ramai yang benar-benar berani. Daripada yang berani tu, tak semua yang benar-benar berkebolehan.

Lebih ramai yang sekadar ingin menarik perhatian. “Budak-budak…”

Semalam Khairul bergaduh dengan Adam. Eh! bukan semalam, kelmarin dulu atau hari sebelumnya. Bila, ye? Hmm, dah lupa harinya. Sebenarnya mereka memang selalu bergaduh. Hampir setiap hari. Malah lebih dari sekali dalam satu hari.

“Khairul, kenapa tendang Adam?” tanya saya lembut.

“Adam ketuk kepala saya dulu, cikgu.” Khairul membela diri.

“Ha, betul ke Adam?” saya berpaling semula pada Adam.

“Betul, tapi semalam dia baling saya dengan buku.” Adam menyerang balik.

“Khairul?” saya berputar pada Khairul pula.

“Dia ejek saya dulu, cikgu.” Khairul juga ada alasannya.

Saya mula rasa dipermainkan walaupun saya tahu mereka bercakap benar, Sebenarnya saya geram sebab masing-masing tidak mahu menerima kesilapan masing-masing dan asyik menyalahkan orang lain.

“Kalau begitu kamu berdua sama-sama salah. Jadi, cikgu akan rotan kamu berdua.” Saya membuat keputusan sekali gus menjatuhkan hukuman.

Sebenarnya penggunaan rotan di kelas prasekolah tidak dibenarkan. Para pensyarah saya di USM dulu memang mengharamkannya. Saya memang tidak pernah merotan mereka walaupun sebatang rotan memang tersedia di dalam kelas. Sekadar ‘ancaman’.

Adam sudah mahu menangis manakala Khairul juga mula takut. Saya menunjukkan reaksi benar-benar ingin melaksanakan hukuman.

Akhirnya, kedua-duanya berbaik semula setelah saya terangkan bahawa jika mereka asyik bergaduh maka nanti kedua-dua mereka juga yang akan dihukum.

Tapi saya sedar, esok belum tentu mereka tidak akan bergaduh lagi. “Budak-budak…”

Saya terfikir, mereka bernasib baik kerana saya adalah guru mereka dan sedang bertekad untuk tidak menggunakan sebarang kekerasan terhadap kanak-kanak di bawah umur tujuh tahun. Hal ini saya ambil teladan daripada Rasulullah sendiri. Namun, bagaimana dengan negara kita? Adakah negara asing yang sedang memerhatikan kita itu bersikap seperti seorang guru? Mahukah mereka ‘mengajar’ kita selaku guru-murid? Lihat lah bagaimana mereka ‘mengajar’ Iraq, Kemboja, Myamar, Afghanistan dan Palastin erti demokrasi.

Lantas saya teringat kata-kata bekas presiden Filiphina (Ekstrada?) 2-3 hari lepas, “Anwar adalah tokoh pejuang demokrasi.”

Adakah kita masih terus mahu berkata: “Ini salah kerajaan. Ini salah polis. Kenapa tuduh dan tangkap Anwar? Kenapa DrM dulu pecat Anwar? Maka lawan tetap lawan!

…dan Amerika sedang memerhati.

Wallahu'alam.

Thursday, July 17, 2008

Menjelang Permuafakatan UMNO-PAS

Kenyataan Dr Mohd Asri Zainul Abidin Berhubung Dengan Pertemuan Pas Dan Umno
Disiarkan pada Jul 15, 2008
http://drmaza.com/

Saya menyeru umat Islam berdoa kepada Allah agar berlakunya pertemuan antara UMNO dan PAS dalam keadaan yang harmoni dan mendatangkan kebaikan untuk rakyat umumnya dan umat Islam khususnya. Pertemuan itu diharapkan bukan atas kepentingan mana-mana parti, sebaliknya di atas kemaslahatan umat. Anggaplah itu tanggungjawab menjaga ukhuwwah, dakwah dan menjaga maslahah ummah.

Jika mereka sebelum ini boleh bertemu dengan pihak-pihak yang jauh segi akidah dan prinsip dari parti mereka, mengapa pula tidak boleh untuk mereka duduk semeja dengan saudara muslim mereka. Walaupun masing-masing mempunyai pandangan yang berbeza dalam beberapa perkara, namun mereka menganut agama yang sama. Semoga Allah memberikan pahala yang besar kepada Presiden PAS DS TN Abdul Hadi Awang atas hasratnya itu. Juga semoga Allah memberikan balasan kebaikan kepada PM DS Abdullah Ahmad Badawi yang memberikan respons yang baik.

Firman Allah: (maksudnya) “Tiada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau menyuruh berbuat kebaikan, atau menyuruh perdamaian antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar” (Surah al-Nisa’: ayat 114). Tiada siapa yang membenci hasrat ini, melainkan mereka yang membenci kebaikan untuk umat dan negara.

Saya yakin, pertemuan itu bukan untuk meleburkan identiti politik mereka, sebaliknya mungkin hasrat atau idealisme politik masing-masing dapat dilaksanakan secara selaras dan matang. Memang sukar untuk mana-mana pihak pun dalam dunia ini mencapai keseluruhan idealisme perjuangannya. Tetapi bak kata kaedah: “Apa yang kita tidak capai kesemuanya, jangan pulak ditinggalkan keseluruhannya”. Ertinya, jika tidak dapat mencapai tahap seratus peratus pun, janganlah pula sedikit sebanyak yang mampu diperolehi ditinggalkan.

Sikap ingin bertemu antara satu sama lain dalam suasana yang lebih harmoni itu adalah lambang kematangan politik kedua parti tersebut.

Nabi s.a.w bersabda: “Mahukah kamu aku khabarkan amalan yang lebih tinggi darjatnya daripada puasa dan solat ? Jawab para sahabah: Bahkan. Sabda baginda: “Mendamaikan hubungan, kerana rosaknya hubungan itu adalah pencukur (mencukur agama)” (.Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).

Pertemuan itu saya percaya, bukan untuk mengungkit kisah silam, tetapi untuk membuka lembaran baru yang lebih menjamin kebaikan untuk umat dan negara. Kita ingin melihat mereka duduk dengan penuh kasih sayang dan ukhuwwah. Marilah kita semua berdoa agar hasrat tersebut dapat direalisasikan.

Saya percaya, pada hari impian itu terlaksana, mereka yang ikhlas akan mengalirkan airmata kesyukuran yang tidak terhingga.

Demang: terasa seperti ada pepasir di sudut mata, ada genangan air menunggu rebak... Semoga doa ini diperkenankan Allah subhanahu wata'ala.

Buat masa ini Demang telah berjaya menghubungi sahabat-sahabat yang sedang berjuang dalam UMNO dan mereka telah berjanji untuk membuat usul permuafakatan ini dalam mesyuarat cawangan masing-masing. Demang minta kerjasama sahabat bloggers untuk turut bergerak di lapangan bagi merealisasikan cita-cita ini.

Insya Allah.

Tuesday, July 15, 2008

PENTING: "Amanat Demang Lebar Daun"

Alhamdulillah. Pertama kerana Hj Hadi kembali sihat. Kedua, kenyataan yang amat jelas daripada Nik Aziz tentang kesediaan PAS untuk bermuzakarah.

Mursyidul Am PAS memberikan syarat iaitu cadangan tersebut hendak lah datang dari akar umbi, yakni ahli UMNO sendiri dan bukannya sekadar hasrat 2-3 individu tertentu.

Bagi Demang itu bukannya syarat tetapi kaedah yang berhikmah dan bijaksana.

Dalam pada itu Demang sempat menonton komen daripada mantan PM, TDM. Bagi Demang itu bukan respon yang membina sebaliknya tindakan ‘mengungkit’ dan berprasangka. Memang elok lah kita berhati-hati tetapi siapa yang berbahaya? Siapa musuh kita?

“UMNO patut berhati-hati dengan PAS atau PAS patut berhati-hati dengan UMNO?”

Demang nak tunjukkan bagaimana menggunakan teknologi komputer bagi menyelesaikan masalah ini.

1) Mula-mula ‘copy’ ayat “UMNO patut berhati-hati dengan PAS atau PAS patut berhati-hati dengan UMNO?”.
2) ‘Paste’ ayat tersebut ke hamparan ‘word’ (eg. Microsoft Word).
3) Pergi menu ‘Edit’ dan pilih ‘Replace’.
4) Dalam kekotak ‘Find what’ sila taipkan perkataan ‘PAS’.
5) Dalam kekotak ‘replace with’ sila taipkan perkataan ‘orang Islam’.
6) Klik ‘Replace all’. klik ‘Ok’. klik ‘Close’.
7) Lihat keputusannya dan baca sekadar terdengar ke telinga sendiri.
8) Ulang langkah 3.
9) Lakukan seperti langkah 4 tetapi taipkan ‘UMNO’ dalam kekotak ‘Find what’ tadi.
10) Kekalkan perkataan ‘orang Islam’ sebagaimana langkah 5.
11) Ikuti langkah 6 dan 7.

Buat lah interpretasi sendiri.

Bagi Demang, berikan lah ruang seluas-luasnya untuk permuafakatan ini.

Kepada semua ahli UMNO, inilah tanggung jawab anda semua. Lakukan lah untuk sekali ini. Kebetulan sekarang adalah musim mesyuarat cawangan UMNO. Setiap cawangan wajib mengemukakan usul agar UMNO dan PAS bermuafakat dan bermuzakarah.

Jangan bertanya lagi siapa yang patut melakukannya. Jika anda seorang ahli UMNO, hadiri lah mesyuarat cawangan anda dan kemukakan usul tersebut.

Jika anda bukan ahli UMNO, sampaikan pesanan Demang ini kepada mana-mana ahli UMNO di kawasan anda untuk dikemukakan usul ini.

Apabila kesemua cawangan sudah membuat usul, adakah sesiapa lagi yang mampu menahannya?

“Kita sudah tiada masa. Maju lah dengan maha perkasa.”

Sampaikan salam takzim Demang untuk pengerusi, AJK dan ahli-ahli UMNO cawangan anda.

Selamat berjaya.

Wallahu’alam.

S.A.P: Saya Anak Peneroka

Demang lihat Buletin Utama kelmarin tentang ketidakpuasan hati 'bapa-bapa' di sebuah tanah rancangan Felda di Johor.

Sebagai anak peneroka Demang faham jugak perasaan mereka yang adakalanya berpendapatan melebihi gaji Cheguman laki bini yang ada degree tetapi adakalanya lebih rendah daripada gaji Muniandy atau Pak Leman yang jadi jaga di sekolah Demang.

Demikian lah nasib peneroka.

Bagi yang kurang memahami realiti di tanah rancangan Felda, Demang ingin berkongsi pengalaman Demang yang membesar di Felda Jengka 8, Pahang.

Sebelum berhijrah, kami sekeluarga tinggal di Kedah. Ayah Demang bekerja sebagai konduktor bas (kolet bas, kata orang kampung). Sebelum itu dia pernah menjadi penarik beca, kelindan lori, awak-awak bot nelayan dan sebagainya.

Kami menyewa rumah di Gurun. (ketika Demang singgah di situ dan melihat rumah itu 3-4 tahun lalu baru Demang sedar bahawa 'rumah' itu sebenarnya cuma sebuah pondok).

Perjalanan dari Kedah ke Pahang ketika itu amat jauh. Demang masih ingat jika bertolak pada waktu petang maka petang esoknya baru tiba ke destinasi.

Perjalanan pada waktu malam sebenarnya ada rasionalnya. Para penumpang boleh tidur dan dapat mengelakkan mereka mabuk akibat jalan yang terlalu berbengkang-bengkok.

Lagi pun tak ada apa yang menarik hendak dilihat sepanjang perjalanan melainkan hutan belantara serta bukit-bukau dan gaung.

Di Felda, setiap peserta yang dipanggil peneroka disediakan rumah satu bilik di atas tanah suku ekar dan hampir sepuluh ekar tanah yang telah ditanam getah atau sawit.

Bukan orang sekarang sahaja yang teruja mendengar 'tuah' yang disediakan tersebut. Malah orang dulu pun begitu seronok dan bersemangat untuk meninggalkan kampung halaman dan menerima tawaran Felda untuk menjadi peneroka.

Namun kejayaan tidak semudah angan-angan. Jika anda ke Jengka 8 sekarang anda akan hairan kenapa majoriti penduduk di situ berasal dari luar Pahang. Malah loghat utama mereka (kami) ialah loghat utara.

Tidak adakah penduduk tempatan?

Ada, tetapi dikira penduduk minoriti sehingga mereka sendiri akhirnya tenggelam dalam budaya dan adat orang utara.

Kenapa begitu?

Pada asalnya memang ramai orang Pahang yang menjadi peserta di situ. Namun cabaran dan keperitan hidup sebagai peneroka memang hebat. Maka ramai yang menyerah kalah dan kembali ke kampung asal mereka.

Sebaliknya peneroka yang berasal dari negeri lain sudah berpatah arang untuk berpatah balik. Kebanyakan daripada mereka telah tidak mempunyai tempat tinggal lagi di negeri asal. Ada yang telah menjualnya untuk dijadikan modal berhijrah manakala selebihnya (seperti ayah Demang) memang tidak ada harta di kampung asal.

Maka mahu tidak mahu terpaksa lah bertahan jika pun tidak mampu berjuang.

Ada juga pertanyaan kenapa tanah Felda dikhususkan untuk orang Melayu sahaja?

Sebenarnya soalan tersebut kurang tepat kerana di beberapa tanah rancangan Felda terdapat juga peneroka dari kalangan kaum Cina dan India. Contohnya di Felda Hutan Perca, Melaka dan di Jengka 13, Pahang.

Namun bilangan mereka adalah minoriti kerana tidak memenuhi syarat kelayakan. Pemohon mestilah dari kalangan rakyat yang di bawah paras kemiskinan atau sekarang disebut 'miskin tegar'.

Ciri-ciri mereka yang layak ialah tidak mempunyai pekerjaan, pendapatan dan tempat tinggal yang tetap.

Kaum India agak kurang kerana populasi mereka memang sedikit. (sekarang pun bilangan orang India memang sedikit sekalipun berbanding pekerja asing). Manakala kaum Cina tidak ramai yang benar-benar layak. Malah kebanyakan peneroka kaum Cina hanya mempunyai nama dan hak di Felda yang mereka sertai padahal mereka tidak pun benar-benar mengusahakan ladang yang disediakan.

Oh ya, Demang terlupa satu fakta penting. Sebenarnya semua yang disediakan di tanah rancangan Felda bukan lah diberi percuma. Malah semua kos termasuk rumah, tanah, ladang, jalan, gaji kakitangan Felda (dipanggil pegawai dengan gelaran 'encik'), baja, racun serangga termasuk tanah perkuburan pun ditanggung oleh setiap peneroka. 'Ditanggung' bermaksud semua perkara itu dikira sebagai hutang yang wajib dibayar semula secara ansuran.

Oleh yang demikian Demang tidak hairan kenapa terdapat peneroka yang menyokong parti pembangkang. Fakta-fakta yang Demang nyatakan adalah modal yang cukup baik untuk memancing peneroka dan anak cucu peneroka membenci kerajaan.

Habis, kenapa Demang tetap menyokong kerajaan? Adakah Demang lupa daratan lantaran sudah ‘senang lenang’? Sudah ada jawatan sebagai guru tadika dan sudah ada kereta Proton Iswara 1.3 manual aeroback?

Atau Demang dibayar untuk menulis hal yang baik-baik bagi menyokong kerajaan? Atau memang Demang seorang pengampu dan pembodek?

Demang mungkin pengampu tapi bukan pembodek. Sila rujuk tulisan Demang tentang perbezaan antara pengampu dengan pembodek.

Malah kerana 'ingatkan daratan’ lah Demang mengekalkan kesetiaan pada kerajaan yang memerintah.

Kenapa?

2-3 hari lepas Demang terbaca satu komen dalam satu blog. Salah seorang pengunjung blog tersebut menitipkan satu analogi yang cukup menarik bagi menggambarkan perkara ini.

"Pada suatu hari seorang lelaki telah memanjat sebatang pokok kelapa. Malangnya setelah tiba di atas lelaki tersebut merasa takut untuk turun. Akhirnya lelaki itu pun bernazar jika dia berjaya turun dengan selamat maka akan dikorbankan seekor kerbau.

Lelaki tersebut mula turun. Sampai di pertengahan batang dia dapati tidak ada apa-apa pun yang berlaku. Maka lelaki itu pun menukarkan nazarnya iaitu jika dia selamat sampai ke bawah dia akan menyembelih seekor kambing.

Lelaki itu melurut lagi ke bawah dan mendapati keadaan semakin selamat. Kini dia menukar nazarnya daripada kambing kepada ayam.

Apabila sampai 2-3 kaki lagi dari tanah lelaki itu memutuskan untuk memecahkan sebiji telur ayam sebagai nazarnya.

Akhirnya lelaki tersebut selamat mendarat dan membuat kesimpulan bahawa jika kita sabar, yakin dan terus berusaha maka sewajarnya lah Tuhan menganugerahkan kita kejayaan.

Demang rasa itulah maksud Tun DrM bahawa "Melayu mudah lupa".

Namun apabila Demang lihat keliling, Demang dapati bukan orang Melayu sahaja yang mudah lupa.

Wallahu'alam.

Sunday, July 13, 2008

Permuafakatan UMNO-PAS

Isu permuafakatan UMNO-PAS telah ditimbulkan dan diwar-warkan oleh Demang dan beberapa orang sahabat bloggers sebelum ini (tapi bukan Demang yang mulakan walaupun Demang mendapatnya dari sumber lain yang layak dipercayai). Namun perkara ini dinafikan oleh beberapa pemimpin PAS malah mengugut untuk mengambil tindakan mahkamah pada sesiapa yang menyebarkan ‘khabar angin’ tersebut.

Dalam isu yang hampir serupa, PR nampaknya lebih takut apabila bertekad untuk membawa Tajol Rosli ke mahkamah jika terus membuat dakwaan bahawa PR akan roboh dalam masa terdekat ini dan YB-YBnya akan bertempiaran menyelamatkan diri.

Nampaknya PR amat bersetuju bahawa institusi kehakiman negara merupakan satu badan bebas yang layak dipercayai dalam mengendalikan sebarang kes termasuk kes-kes ‘yang tidak nyata’ seperti dakwaan tanpa asas tersebut.

Cuma Demang hairan, bukankah Anwar sudah lama men’an’war-‘an’warkan betapa 30 orang ahli parlimen akan lompat parti? Tidak takutkah Anwar disaman di mahkamah?

Demang agak isu lompat parti yang Anwar katakan itu mungkin betul pada masa itu jadi Anwar berani mengatakannya. Maklumlah, watak pengkhianat memang sentiasa ada dalam sejarah tidak kira sejarah bangsa mana pun.

Cuma apabila berlaku beberapa isu mutakhir, jumlah 30 orang tersebut (jika pun ada) sudah jauh menyusut, malah tidak mustahil sudah bertukar pihak. Maksud Demang ialah bukan 30 YB BN masuk PR sebaliknya 30 YB PR masuk BN.

Bagi yang sering mengikuti tulisan Demang tentu faham bahawa Demang bukan ambil kesah sangat soal betul atau tidak sesuatu khabar angin atau dakwaan tanpa bukti. Bagi Demang, yang penting ialah implikasi daripada sesuatu isu.

Demang berpendapat para pemimpin TULEN PAS menghadapi tiga dilemma apabila mengambil keputusan untuk terus berjuang.

1. Pilihan pertama, berada di luar kerajaan sebagai pembangkang dengan harapan suara mereka didengari.

1.1 Inilah pendirian mereka dari dulu hingga kini. Namun keputusan ini menerbitkan dua dilemma baru iaitu:

1.1.1 Jika menjadi pembangkang yang lemah maka suara mereka tidak akan didengari.

1.1.2 Jika menjadi pembangkang yang kuat maka UMNO yang sedang memimpin kerajaan akan lemah. Kesannya, perjuangan Islam menjadi rugi manakala yang menang ialah musuh-musuh Islam.


2. Pilihan kedua, bergabung dengan UMNO sebagai salah satu komponen BN (seperti Gerakan-MCA).

2.1 Jika ini berlaku maka UMNO dan PAS akan bersaing dalam merebut kerusi dan kesannya boleh menjadi seperti perkara pertama tadi. Sudah pasti di beberapa kawasan (mungkin banyak) akan berlaku rasa tidak puas hati parti komponen mana yang patut menjadi calon.


3. Pilihan ketiga, bersatu dalam UMNO dan sesiapa sahaja boleh menawarkan diri menjadi pemimpin UMNO.

3.1 Alasan bahawa "Anwar pernah melakukannya tetapi gagal" Demang kira tidak lagi relevan. (dulu, inilah alasan pemimpin PAS untuk tidak menyertai UMNO atau bagi menghalang orang lain menyertai UMNO).

3.2 Kalau Demang berkuasa seperti Demang Lebar Daun yang sebenar maka Demang akan arahkan supaya PAS dibubarkan dan sesiapa yang masih ingin berjuang untuk negara, Islam, dan Melayu hendaklah menyertai UMNO (apa ada pada nama? Kalau tak suka nama UMNO, cadangkan dalam perhimpunan parti untuk menukarkan nama tersebut: UMYES ke, PASport ke…? UNWAR ke…?

3.3 Semasa perhimpunan nanti, calonkan Haji Hadi atau Nik Aziz sebagai presiden. Demang sendiri akan turun ke sana buat kali pertama sebagai ahli UMNO (terBARU) dan sokong salah seorang daripada mereka. Atau mungkin juga ketika itu Najib atau Mahyudin Yassin atau KU Li telah menjadi begitu alim dan warak sehingga setanding dengan Umar Abd Aziz (sebab menyahut cabaran untuk bersaing secara sihat dengan ulama’).


Itu dilemma pemimpin tulen PAS, bagi pemimpin ‘tak tulen’ PAS mereka tak kesah apa pun, janji dapat membangkang.

Ops… ada yang tanya, kenapa tidak ada pilihan keempat? Yakni, PAS mengambil alih kerajaan dan UMNO jadi pembangkang?

Bagi Demang orang yang bertanya pilihan keempat itu adalah orang yang ketinggalan zaman. Nak jadi kerajaan mesti menang sekurang-kurangnya satu perdua kerusi parlimen. Pernahkah PAS bertanding sebanyak itu?


Wallahu’alam.

Friday, July 11, 2008

Permata kecil, harta negara

Jumaat 11 Julai, 2008

Aiman maju ke depan, berdiri di hadapan kelas mengadap rakan-rakannya. Perlakuannya dituruti Yasmin yang turut berdiri di sebelahnya.

"Assalamualaikum." Aiman memberi salam. Kemudian dia beristighfar tiga kali dan melafazkan dua kalimah syahadah sambil diikuti seluruh kelas.

"Seterusnya saya menjemput Hilman untuk membacakan doa-doa," ucap Aiman menjemput Hilman mengetuai pembacaan doa penerang hati, doa iftitah dan doa pagi.

Sementara itu Yasmin mengawasi rakan-rakan yang kurang memberi perhatian atau terlupa mengangkat tangan ketika membaca doa.

Setelah selesai, Aiman mengucapkan terima kasih kepada Hilman dan menjemput Shuib untuk membaca ayat-ayat lazim. Tugas Shuib ialah memimpin seluruh kelas menghafal surah al-'As, al-Lahab, al-Ikhlas, al-Falaq, an-Nas, dan al-Fatihah.

"Terima kasih, Shuib," ucap Aiman. "Seterusnya saya menjemput Irdina untuk membaca sajak." Aiman meneruskan aturcara.

Irdina tampil ke depan dan berdiri di tengah-tengah. Dia memberi salam dan meminta semua rakan-rakannya berdiri.

Sajak yang dibaca beramai-ramai pada pagi itu bertajuk Penyair Dari Gunung. Asalnya sebuah lagu dan sememangnya mereka akan menyanyikannya selepas melafaz secara bersajak.

Setelah selesai menyanyi dan bersajak, Aiman mengucapkan terima kasih kepada Irdina dan meminta rakan-rakannya duduk.

"Seterusnya saya menjemput cikgu Azman untuk meneruskan pelajaran."



Enam bulan sebelumnya:

Aku duduk di atas kerusi kecil menghadap 25 orang kanak-kanak berusia enam tahun yang duduk bersila di atas lantai.

"Siapa nama awak?" aku menyoal seorang yang paling hampir denganku.

"Iman." Pendek sahaja jawapannya antara kedengaran dengan tidak.

"Iman? Aiman atau Hilman?" aku mula keliru. Aku mengambil buku daftar dan menyemak. Siapa nama Ahmad Hilman?" soalku sambil meneliti wajah kanak-kanak lelaki yang hanya seramai tujuh orang itu satu persatu.

Lambat-lambat, tiga batang tangan mula terangkat antara nyata dengan tidak.

"Angkat lurus-lurus," aku meminta dengan lembut.

Namun ketiga-tiga tangan masih seperti tadi, bengkok dan ragu-ragu. Aku mula resah. Mujur di tanganku ada borang pendaftaran beserta foto setiap kanak-kanak itu. Kuteliti ketiga-tiga gambar dan cuba mengecam.

"Ok. nama kamu Ahmad Hilman Nasarudin. Saya akan panggil kamu Hilman." kataku lembut kepada kanak-kanak lelaki yang duduk di depan sekali itu sambil tanganku menyelak sekeping lagi borang.

"Kamu pula Muhammad Hilman Hakim." kataku menunjuk pada seorang lagi budak lelaki yang duduk di baris keempat. "Kalau begitu saya akan panggil kamu Hakim, boleh?" ujarku. Segera aku teringat seorang sahabatku di Pahang yang juga bernama Hakim.

"Kamu pulak," kataku sambil menunjuk pada kanak-kanak lelaki yang agak gempal duduk di belakang sekali: "nama kamu Muhammad Nuraiman dan saya akan panggil kamu Aiman. Boleh?" pintaku sambil menerangkan. Aiman tersipu-sipu tanpa suara.

Tiba-tiba berlaku kegemparan. Dua orang kanak-kanak perempuan sudah menangis teresak-esak. Aku kaget.

"Kenapa?" soalku sambil menghampiri mereka. Rupa-rupanya sikembar. Aku cuba menyoal, namun semakin kuat tangisnya. Akhirnya aku membiarkan mereka begitu sahaja.

"Dia nak balik, cikgu." satu suara halus memberitahu. Aku menoleh. "Hmm, kamu kenal budak kembar ni?" aku menyoal pada yang menyampuk tadi. Namun hanya gelengan yang kuterima.

"Siapa nama kamu?" aku menyoalnya.

Dia menyebut suatu nama yang agak panjang dengan perlahan. Namun dapat juga kutangkap sedikit: Yasmin.

"Agak berani budak ni," kataku dalam hati. Mungkin boleh kujadikan penolong ketua nanti. Bagiku, ketua mesti seorang lelaki.

Aku mengambil gitar dan cuba menghibur mereka dengan beberapa buah lagu kanak-kanak. Kebetulan ada beberapa orang yang pernah ke tadika sebelum ini maka tidaklah aku keseorangan sangat menyanyi.

Tiba waktu makan, aku terpaksa membawa mereka ke kantin. Hal ini kerana kelas yang baru dibuka ini belum mempunyai pembantu. Dengan bersusah payah dan dibantu oleh beberapa orang ibu bapa yang masih menunggu aku berjaya membariskan kesemua kanak-kanak itu secara berpasangan.

Namun oleh kerana jumlah mereka yang ganjil maka seorang daripada mereka tidak berteman. Nampaknya kanak-kanak yang keseorangan itu kelihatan hendak menangis.

Aku menarik si Aiman daripada pasangannya dan menggantikannya dengan kanak-kanak yang dah 'nak hujan' itu.

"Ok, Aiman tak perlu pegang tangan kawan sebab Aiman cikgu lantik jadi ketua." aku membuat keputusan spontan. "Sekarang Aiman berdiri di belakang sekali dan awasi kawan-kawan."

Demikianlah sejarah Aiman menjadi ketua kelas. Namun jawatan tersebut disandangnya hampir tiga bulan tanpa apa-apa makna. Cuma bagusnya Aiman, dia seorang pendiam. Malah dia paling pendiam dalam kelas sehingga aku tidak dapat mengharapkan apa-apa daripadanya.

Namun aku tidak sampai hati melucutkan jawatannya untuk diberikan kepada orang lain yang lebih aktif.

Oleh kerana Aiman adalah ketua kelas yang aku sendiri lantik maka mahu tidak mahu aku terpaksa mengutamakannya. Aku mengajarnya menghantar buku kedatangan ke pejabat. Menarik tangannya ke depan untuk sekadar berdiri di sebelahku ketika mengendalikan rutin pagi. Memintanya berdiri untuk membaca doa walaupun sebenarnya mereka membaca bersama-sama tanpa ketua.

Kini setelah enam bulan, inilah hasilnya yang amat kubangga. Mereka adalah permata negara, bakal pemimpin di masa depan. Di tangan merekalah bertuah atau malangnya nasib negara. Kita lah yang membentuknya.

Wallahu'alam.

Rencana ini juga boleh dibaca di laman permata kecil di http://www.morhabshi.com : sebuah laman khas untuk pendidikan prasekolah.

Teori RAHMAN

R. A. H. M. A. N
A. B. U. A. B. A (abuya?)
H. D. S. H. D. J (?)
M.U. S. A. U. I (Musa Aman?)
A. L. E. T. L. B (Alex?)
N. R. I. H. L. (?)
...A. N. I. A. (Anuar Musa?)
.. Z .... R. H. (Zaharah?)
...A (aku)
...K (kau)

Persepsi lagi....

Wallahu'alam.

Thursday, July 10, 2008

Paklah dan orang muda

Tajuk kecil: Menghormati pemimpin

Mahu tidak mahu Demang terpaksa juga menulis tajuk yang sangat membosankan ini. Bagi Demang bukan sahaja menulisnya bosan malah membacanya juga membosankan.

Bukan itu sahaja, menghormati pemimpin juga kadangkala membosankan.

Kenapa? Kerana hubungan dengan pemimpin selalunya membosankan.

Baru-baru ini seorang sahabat Demang memberitahu Demang betapa bosannya dia dengan Paklah.

Ceritanya begini:
"Masa kempen PRU12 lepas aku kena sambut Paklah mai tempat aku (Kepala Batas). Aku 'sound' (sindir) dia (Paklah), kelmarin Nuar Brahim mai. Dia naik kereta yang boleh bukak bumbung. Dia berdiri, lambai kat orang ramai sepanjang jalan."

"Tapi Paklah mai naik kereta bertutup rapat, cermin gelap. Rakyat 'tak dan' nampak, 'berdezup' lagu tu aja."

"Hang 'sound' macam tu?" tanya Demang takjub. "Dia kata apa?" tambah Demang lagi berminat.

"Tu yang aku bosan tu. Dia diam aja."

Demang geleng kepala. Apa punya manusia la Paklah ni. Seorang 'budak muda' boleh sindir begitu dan beliau cuma diam sahaja. Tak ada perasaan ke?

Lama juga Demang fikirkan kisah itu. Ada juga Demang mengumpat Paklah bersandarkan peristiwa itu. 'Kawan-kawan umpatan Demang pun turut buat kesimpulan betapa lemahnya Paklah hinggakan tak mampu menjawab persoalan yang seorang 'budak muda' kemukakan.

Hal ini menguatkan hujah segelintir blogger yang mengumpat bahawa Paklah memang tak layak langsung jadi PM.

Baru-baru ini Demang terserampak dengan satu jemaah tabligh di surau. Entah apalah nasib Demang, kali ini tak sempat Demang 'lari' dan terpaksalah Demang mendengar mereka membaca satu kisah lama.

"Setiap hari Rasulullah melalui sebatang lorong untuk ke masjid. Di lorong tersebut terdapat sebuah rumah yang dihuni seorang wanita tua. Setiap kali Rasulullah melintasi rumah tersebut wanita tua itu akan mencampakkan kotoran ke atas Rasulullah.

Namun Rasulullah tidak pernah serik apalagi memarahi wanita tua itu.

Pada suatu hari Rasulullah merasa hairan kerana wanita tersebut tidak 'menyambut' baginda seperti selalu. Setelah disiasat Rasulullah mendapati wanita itu sedang sakit. Baginda segera mengunjungi wanita itu. Baginda membantu wanita itu termasuk membawakan makanan untuknya.

Setelah sembuh, wanita itu bertanyakan siapakah yang telah bersusah payah menolongnya sepanjang dia terbaring itu. Alangkah terperanjatnya wanita itu apabila diberitahu bahawa lelaki itulah yang selama ini amat dibencinya.

Akhirnya wanita tua itu menemui Rasulullah dan menyatakan kekesalan atas perbuatannya selama ini.

Paklah tentulah tidak setaraf dengan Rasulullah. Namun tidak ramai pemimpin yang mampu mengawal emosi apatah lagi jika melibatkan egois.

Sebenarnya PM kita ni bukanlah teruk sangat. Dasar-dasar yang diperkenalkan pun menarik jika dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

Masalahnya ramai yang rasa mereka lebih hebat daripada Paklah. Bagi Demang ada dua perkara yang boleh kita lihat daripada peristiwa tadi:

Pertama, Paklah boleh dikritik walaupun oleh rakyat biasa.

Kedua, tohmahan 'pak turut' ke atas orang UMNO masih boleh dipertikai. Malah orang Kepala Batas pun berani menegur Paklah.

Ketiga, Paklah sanggup berkorban melepaskan jawatan nombor 1 demi mengekalkan perpaduan. Anwar sanggup? "Lawan Tetap Lawan", kata Anwar.

Demang menyeru semua pemimpin rakyat yang hebat-hebat agar bantulah Paklah membina negara. Kalaupun bukan kerana Paklah, lakukan untuk rakyat. Atau lebih baik lagi lakukan kerana Allah.

Nota:
Demang sendiri selalu menegur 'Paklah' (polis pencen yang tinggal di sebelah rumah Demang).

Tambahan:
Demang amat kesal kerana Tun Dr Mahathir masih berusaha menjatuhkan kerajaan yang ada. Lihat komen terbaru Tun terhadap Paklah. Adakah Tun benar-benar bersih ketika menjadi PM dulu? Pandangan Tun terhadap 'kerajaan yang memerintah' dengan 'kerajaan Malaysia' amat mengelirukan dan berbahaya. Malah, kritikan Tun ke atas Paklah seolah-olah Tun dulu seorang yang serba sempurna. Demang percaya kalau Tun menjadi Paklah dan Paklah menjadi Tun, pasti 'Paklah yang bertopeng Tun' itu sudah berehat di Kemunting.

Demang melihat ada wajah Lebai Malang dalam diri Tun sejak akhir-akhir ini.

Wallahu'alam.

Tuesday, July 8, 2008

Lebai Malang: antara realistik dan idealistik

Ramai yang bertanya Demang tentang kebenaran Sejarah Melayu (Salasatus Salatin, Tun Sri Lanang) dan Hikayat Hang Tuah. Demang malas nak berbalah semula tentang ini dengan sesiapapun. Bagi orang yang mengikuti tulisan Demang pasti dapat mengesan bahawa Demang kurang gemar menghakimi salah-benar sesuatu perkara. Lagipun pakar-pakar dalam bidang berkenaan sudah membahaskannya dengan saksama.

Yang lebih penting ialah bagaimana kita mengambil pengajaran daripada perkara tersebut.

Kali ini Demang akan membawa sebuah kisah lama yang lebih dongeng lagi.

Selamat ketawa.

Konon pada masa dahulu di sebuah desa tinggal seorang lelaki yang dipanggil Pak Lebai. Rumah Pak Lebai terletak di tepi sebatang sungai.

Pada suatu hari datanglah seorang lelaki ke rumah Pak Lebai. Tujuan lelaki itu ialah untuk menjemput Pak Lebai ke rumahnya untuk majlis kenduri. Rumah lelaki itu terletak di sebuah kampung di hulu sungai itu.

Maka berjanji lah Pak Lebai untuk hadir ke majlis tersebut.

Tidak berapa lama kemudian datang pula seorang lelaki lain ke rumah Pak Lebai. rupa-rupanya lelaki itu juga ingin menjemput Pak Lebai menghadiri kenduri di rumahnya. Rumah lelaki itu pula terletak di hilir sungai.

Selepas kedua-dua lelaki itu berlalu maka Pak Lebai pun memasang strategi bagi membolehkannya hadir di kedua-dua majlis tersebut.

Kedua-dua majlis akan diadakan serentak. Pak Lebai akan menggunakan perahu untuk pergi ke kedua-dua majlis.

Pak Lebai merancang untuk pergi ke kampung di hulu terlebih dahulu. Selepas makan di situ Pak Lebai akan segera berdayung ke kampung di hilir pula. Pergerakan menghilir akan mempercepatkan perjalanan Pak Lebai.

Keesokan harinya, Pak Lebai memberitahu isterinya hajat untuk ke rumah kenduri. Pak Lebai turut berpesan agar tidak menyimpan makanan untuknya kerana dia pasti kenyang setelah hadir di dua kenduri.

Sebenarnya Pak Lebai sudah terlewat. Namun Pak Lebai bertekad untuk hadir di kedua-dua majlis. Dia melihat arus sungai dan berfikir sejenak. Jika dia terus ke kampung hilir dia akan sampai tepat pada waktunya. Namun sudah pasti dia tidak akan sempat ke kampung hulu.

Sebaliknya jika dia ke kampung hulu, dia akan terlewat sedikit kerana terpaksa berdayung menongkah arus. Namun dia mendapat kelebihan berdayung ke kampung hilir kerana perjalanan menghilir akan lebih lancar.

Maka Pak Lebai mengambil keputusan untuk ke kampung hulu terlebih dulu. Ini memberi peluang kepadanya untuk hadir di kedua-dua majlis biarpun terlewat sedikit.

Ketika Pak Lebai tiba di kampung hulu, majlis telah hampir selesai. Meskipun begitu semua makanan telah habis. Pak Lebai rasa kecewa namun segera bergegas ke kampung hilir pula.

Namun sesampainya di sungai arah aliran telah berubah. Fenomena pasang surut laut menyebabkan perjalanannya kali ini juga terpaksa melawan arus. Dengan bersusah payah Pak Lebai berdayung ke kampung hilir. Sekali lagi Pak Lebai bernasib malang kerana majlis telah pun selesai. Tuan rumah meminta maaf kerana semua makanan telah habis.

Dengan perut yang lapar Pak Lebai berkayuh pulang ke rumah. Dia berharap dapat makan di rumah. Malang sungguh apabila isterinya telah membuang semua makanan kerana itulah pesan Pak Lebai sebelum keluar tadi.

Selama ini masyarakat lebih gemar melihat nasib malang tersebut berpunca dari ketamakan seorang ‘lebai’. Bagi Demang itu bukan tafsiran tetapi tuduhan melulu. Demang sudah sebutkan dalam tulisan sebelum ini bahawa tinggalan nenek moyang kita tidak boleh dilihat selapis sahaja.

Tuduhan bahawa Pak Lebai seorang yang tamak adalah tidak adil malah bersifat prejudis.

Demang rasa dalam versi asal Lebai Malang, beliau tidak begitu. Silapnya Pak Lebai ialah kerana cuba memenuhi harapan semua orang dan tidak mahu menghampakan harapan orang.

‘Lebai’ dalam masyarakat Melayu berbeza dengan ‘haji’. ‘Pak Lebai’ dilihat lebih warak, jujur dan suka menolong orang. Biarpun ilmu mereka tidak sehebat ulama’ atau ustaz, namun mereka terkenal sebagai ahli abid (ahli ibadat).

Lazimnya golongan lebai tidak kaya. Jika kaya mereka akan mampu menunaikan haji dan gelaran ‘lebai’ akan diganti dengan ‘haji’. Namun mereka amat dihormati masyarakat dan dianggap serba boleh. Seorang ‘lebai’ biasanya boleh menggantikan imam, siak, bilal, dan macam-macam lagi sebaliknya imam, siak, bilal dan lain-lain itu tidak semestinya seorang ‘lebai’.

Dalam kisah di atas, watak si malang dikaitkan dengan seorang lebai. Kenapa?

Pada taakulan Demang, watak ‘lebai’ digunakan bagi menunjukkan seorang yang warak, jujur dan sentiasa berniat baik akhirnya ‘kecundang’ kerana silap perkiraan.

Ada pendapat yang menganggap kisah ini bikinan penjajah atau musuh Islam bagi memburukkan imej Pak Lebai. Demang tidak fikir begitu.

Jika watak antagonis (watak jahat) digunakan untuk digandingkan dengan nasib malang maka ia adalah sesuatu yang biasa dan membawa kesan lain pula kepada audien. Dengan kata lain, mesej sebenar yang ingin dibawa oleh pengarangnya tidak akan kesampaian.

Sebagai contoh, pengarang tersebut membawa kisah Pencuri Malang, Penipu Malang, Pembunuh Malang dan sebagainya.

Bagi Demang, Si Lebai Malang adalah tipa (type) segelintir masyarakat sejak dulu hingga kini. Si Lebai Malang mencerminkan hasrat murni dan cita-cita kudus masyarakat yang mendambakan sebuah negarabangsa yang ideal dan sempurna.

Lihat semula Pak Lebai tadi. Dia menyangka yang dia dapat memenuhi harapan semua orang. Dia rasa tidak patut menghampakan harapan orang yang sanggup datang dari jauh untuk menjemputnya.

Lihat semula cerita di atas. Adakah kenduri tersebut sebuah majlis yang besar sehingga dijemput penduduk dari kampung lain?

Kalau kenduri besar seperti kenduri kahwin, Pak Lebai tidak akan terlewat sebab atur cara jamuannya lebih panjang. Demang berpendapat kenduri tersebut hanyalah kenduri kecil seperti kenduri arwah.

Itulah sebabnya Pak Lebai begitu beriya-iya untuk memenuhi kedua-dua jemputan. Jemputan ke atas Pak Lebai mungkin memintanya mengetuai bacaan doa dan tahlil. Tanpa kehadiran Pak Lebai barangkali majlis tersebut tidak sempurna.

Itulah kesilapan Pak Lebai yakni menyangka tanpa penyertaan beliau majlis tidak dapat dijalankan. Sepatutnya Pak Lebai akur bahawa dia tidak mampu berada di dua tempat dalam satu masa. Adalah bijak jika Pak Lebai hanya menerima satu jemputan dan menolak jemputan kedua.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Kembali ke alam nyata, adakah dunia ini ideal dan sempurna? Ya, itulah yang kita harapkan. Secara jujur mari kita bertanya pada diri sendiri: adakah aku sempurna? Adakah aku LAYAK dilayan dengan sempurna? Adakah aku BERHAK dilayan dengan sempurna? Adakah semua orang di sekelilingku perlu sempurna sedangkan aku sendiri tidak sempurna?

Inilah yang sering kita terlepas pandang. Dalam hubungan suami-isteri misalnya. Si suami mengharapkan isterinya sempurna begitu juga sebaliknya. Kita sering mengharap: 'sepatutnya begini, sepatutnya begitu.'

Adakah kita juga bertanya pada diri sendiri soalan yang sama?

Bagaimana pula hubungan rakyat dengan pemimpin?

Terdapat segelintir rakyat yang percaya bahawa pemimpin tidak boleh membuat kesilapan. Rakyat boleh buat silap sebab mereka hanya rakyat biasa yang tidak sunyi dari melakukan kesilapan.

Rakyat boleh menerima rasuah atau memberi rasuah, contohnya bagi mengelakkan kena saman. Mereka sedar perbuatan itu salah tetapi sering berharap mereka dimaafkan.

Dalam membina negara terutamanya seperti Malaysia yang berbilang kaum ini kita perlu realistik dan bukannya idealistik. Kita mesti berusaha mencapai yang terbaik namun harus sentiasa sedar bahawa tiada yang sempurna.

PRU12 baru berakhir. Hal ini bermakna penggal baru bagi kerajaan yang baru, baru bermula. Sepatutnya ini adalah masa untuk bekerja, baik kerajaan mahupun pembangkang.

Sementara kerajaan melaksanakan dasar-dasar yang telah diputuskan bersama, pihak pembangkang bertanggung jawab menegur dan memantau. Namun perlu dilakukan di dalam parlimen, bukan di tepi jalan. Kita ada peraturan.

Sukarkah mengubah kebiasaan? Kalau itu pun susah nak ubah, macam mana nak mengambil alih kerajaan nanti?

Satu lagi, jangan sekali-kali berkempen sekarang. PRU13 lambat lagi. Rakyat terutamanya penjawat awam perlu digalakkan untuk bekerja bersungguh-sungguh. Jangan hasut mereka membenci kerajaan. Itu bukan teladan yang baik. Malah bukan juga amalan yang baik. Apatah lagi jika anda seorang ustaz atau ulama.

Empat tahun lagi, yakni di penghujung penggal ini PRU13 akan diadakan. Pada masa itu bukalah rekod perkhidmatan kerajaan. Check satu-satu. Bentangkan dan kemukakan pada rakyat dengan jujur dan ikhlas serta penuh tanggung jawab. Sertai PRU13 sebagai calon dan berkempen lah dengan semangat setiakawan.

Demang yakin dan percaya bahawa rakyat semakin bijak menilai.

Wallahu’alam.

Thursday, July 3, 2008

Konspirasi siapa?

Sebenarnya Demang boleh berehat dari membuat 'posting' ke blog ini untuk seketika.

Meskipun beberapa rencana sudah berada dalam senarai menunggu namun Demang tidak yakin para pengunjung menyukainya.


Semuanya kerana isu terbaru Anwar. Sekarang orang ramai hanya akan mencari berita tentang Anwar.


Silap Demang jugak. Kalau lah Demang belajar ilmu firasat atau ilmu 'terus mata' dari arwah datuk Demang dulu, tentu blog waadat ni akan sesak dengan pengunjung.


Demang boleh terus buat pengumuman siapa salah siapa betul. Selesai MASALAH.


Kata seorang sahabat Demang, "masalah adalah cabaran." Seorang lagi sahabat Demang pula suka mengulang-ulang satu ungkapan berbunyi:


"setiap cabaran adalah peluang."


Namun beliau tidak pula menjelaskan maksud ungkapan tersebut. Mungkin beliau percaya yang Demang mestilah faham ungkapan-ungkapan begitu. Jadi untuk tidak mengecilkan hatinya, Demang pun mengangguk-angguk.



Maksud sebenar anggukan itu hanya Demang yang tahu.


Jika masalah adalah cabaran dan cabaran menerbitkan peluang maka seseorang yang bijak boleh sahaja mencipta masalah dan menzahirkan peluang.


Itupun kalau ungkapan tadi boleh dipegang.


Dalam keadaan sekarang, siapakah yang sedang mencari peluang? Siapakah yang untung dan siapakah yang rugi?


Adakah Paklah, Najib, Anwar, Saiful, atau ada orang lain?


Jika dua pihak (atau lebih) yang bertentangan mempunyai peluang yang hampir sama maka risiko untuk menukar masalah menjadi peluang adalah tinggi.


Siapakah yang paling terdesak sehingga sanggup mencipta masalah ini?


Adakah Paklah, Najib, Anwar, Saiful, atau ada orang lain?


Jika jawapannya sama seperti tadi yakni masing-masing memang ada kemungkinan sedang terdesak maka peluang mereka adalah sama.


Dengan kata lain jika salah seorang dari mereka sengaja mencipta masalah ini, kemungkinan senjata boleh makan tuan.


Siapakah yang untung daripada masalah ini?


Adakah Paklah, Najib, Anwar, Saiful, atau ada orang lain?


Jika anda jawab tiada yang benar-benar untung maka sekali lagi isu ini bukan cara yang selamat untuk menyelesaikan agenda peribadi.


Siapakah yang rugi daripada masalah ini?


Adakah Paklah, Najib, Anwar, Saiful, atau ada orang lain?


Jika anda fikir lebih daripada dua pihak yang akan rugi maka tindakan mengada-adakan masalah ini bukan strategi bijak.


Justeru Demang ragu siapakah sebenarnya yang merancang isu ini kerana belum pasti siapa yang akan mendapat faedahnya.


Ada sesiapa di sini yang nak tambah soalan di atas?



Contohnya, kalau bukan rancangan sesiapa, ini apa?


Bagi Demang, "jong pecah yu yang kenyang."



Demang juga sedang melihat bidak-bidak catur sedang ditolak.


Wallahu'alam.

(Oleh kerana Demang akan 'keluar kawasan' esok, maka kali ni Demang paparkan 2 artikal serentak. Kena baca kedua-dua artikal tu...)

Kisah rusa yang bersembunyi di bangsal lembu.

Malam tadi salah seorang putera Demang menghampiri ketika Demang sibuk mengadap internet.

"Papa..." si kecil menyapa.
"Ada apa?" tanya Demang sambil mata menggelinjang skrin.
"Papa dah beli buku cerita Haziq?" tanyanya sayu.

Alamak. Sibuknya Demang mengalahkan bendahara. Siang malam bincang hal negara. Seolah-olah kalau diri tiada, 'tidur'lah seluruh negara.

Padahal, anakanda dua orang pun tak larat nak jaga.

Sebenarnya sejak 2-3 hari lepas lagi putera Demang berusia enam tahun ini meminta dibelikan buku cerita bahasa Inggeris. Dia telah dipilih ke pertandingan bercerita peringkat daerah.

"Ya... Nanti Papa beli."

Maka dengan janji itu lah Demang singgah di kedai buku petang tadi. Dasar 'kaki buku', Demang beli 10 buah buku cerita kanak-kanak.

(sebenarnya Demang pun nak baca buku-buku tu. SEPULUH buah buku untuk anak lebih murah daripada TIGA kotak rokok!).

Salah satu daripada buku tersebut mempunyai tajuk yang sama dengan rencana kali ini.

Ceritanya begini:
Pada suatu hari seekor rusa telah dikejar anjing pemburu. Rusa itu kemudiannya bersembunyi di sebuah bangsal lembu. Merasakan tempat itu selamat, maka sang rusa pun meminta izin lembu-lembu di situ agar membenarkan dia terus berlindung di kandang itu.

Namun lembu-lembu di situ menasihatkan rusa segera meninggalkan tempat itu kerana tidak lama lagi para pekerja bangsal akan tiba. Jika mereka menemui rusa di situ sudah tentu mereka akan menangkap dan menyembelih rusa itu.

Namun nasihat itu tidak diendahkan. Tidak lama kemudian beberapa orang pekerja kandang lembu tersebut tiba di situ. Mereka menemui seekor rusa...

Demang rasa anda sendiri boleh meneka kesudahan cerita tersebut.

Untuk kanak-kanak tadika (5-6 tahun) Demang akan beritahu mereka bahawa mesej daripada cerita tersebut ialah "dengarlah nasihat."

Untuk anda pula jika Demang kata mesej cerita tersebut ialah "jangan bersembunyi di rumh musuh," barangkali ramai yang akan berkata bahawa itu adalah petua lama yang semua orang sudah tahu. Hanya orang bodoh saja yang berlindung di rumah musuh.

Bagaimana jika Demang kata jangan bersembunyi di rumah kawan kita yang pernah menjadi tali barut musuh?

Demang rasa amaran tersebut sama lah macam petua di atas juga. Hanya orang bodoh yang akan buat begitu.

Bagaimana jika orang cerdik yang buat begitu? Tak 'kan kita nak kata dia bodoh?

Demang rasa anda sudah mendengar 'seseorang' yang berlindung di sebuah kedutaan asing.
Terbaru, Demang dengar berita radio bahawa 'beliau' juga telah mengadu hal pada US.

Elok lah tu. Penentang Saddam Hussein dulu pun tak minta US serang Iraq. Diorang pun tak sangka dan tak jangka US begitu bersungguh-sungguh nak 'tolong' diorang.

Diorang cuma mengadu untuk dapatkan keadilan.

Bagi Demang, soal tuduhan salah laku itu betul atau tidak bukan masalah kita.

Persoalannya, adakah wajar meminta simpati musuh?

Wallahu'alam.

(rencana Demang sebelum ini adalah berkaitan. Sila baca jika belum).

Tuesday, July 1, 2008

Anwar: betul atau fitnah? kisah sibuta menilik gajah

Masa Demang bersekolah rendah dulu seorang guru pernah bercerita kisah beberapa orang buta dengan seekor gajah.

Demang rasa ramai yang pernah mendengar atau membaca kisah tersebut.

Cerita tersebut mengisahkan beberapa orang buta yang mengerumuni seekor gajah yang besar.

Maka orang buta yang memegang belalai berkata bahawa gajah berbentuk panjang seperti ular.

Rakannya menyanggah dan mendakwa bentuk gajah adalah seperti dulang. Sebenarnya dia sedang menyentuh telinga gajah.

Orang buta ketiga pula mengatakan bentuk gajah seperti tali kerana dia berada di bahagian ekor gajah.

Demikianlah seterusnya, setiap orang buta tersebut membuat gambaran sendiri terhadap gajah tersebut.

Masa cikgu kami bercerita dulu Demang dan kawan-kawan mentertawakan orang buta dalam cerita itu.

Betapa bodohnya orang buta.

Dipertengahan remaja, seseorang memberitahu Demang bahawa kita semua adalah buta.

"Habis, ini bukan mata?" Demang bertanya kebodohan.

"Betul. Tapi bila awak berjalan di sebuah bandar, adakah semua yang di hadapan dan dikiri-kanan awak lihat? Atau awak hanya melihat apa yang awak suka atau yang ingin awak lihat?" Tanya orang itu.

Demang mengangguk-angguk pura-pura faham.

Apabila menginjak dewasa Demang cuba mengambil tahu hal-hal masyarakat.

Demang ikut mendengar penerangan-penerangan politik daripada para pemimpin kerajaan. Demang akui pendapat mereka memang benar.

Demang juga menghadiri ceramah-ceramah politik para pemimpin pembangkang. Demang juga akui pendapat mereka benar.

Kini Demang sedang memasuki 20 tahun ketiga dalam usia Demang.

Melihat kepada isu-isu yang ditimbulkan, Demang teringat lagi pada kisah sekumpulan orang buta dengan gajah tadi.

Mungkin ada yang mengatakan cerita tersebut agak keterlaluan. Takkanlah orang buta sebodoh itu.

Namun kalau kita lihat realiti hari ini, hal tersebut bukan pelik.

Cuba lihat bagaimana para 'blogger' menilai seorang Perdana Menteri.

Ramai 'blogger' mengatakan Paklah seorang yang bodoh. Malah ada yang mengatakan Paklah sangat bodoh.

Dalam pada itu ramai juga yang mengatakan Paklah berfikiran bijak.

Kajian terbaru menunjukkan lebih 80% daripada dua ribu responden di seluruh negara berpendapat kepimpinan sekarang perlu diteruskan.

Adakah 80% responden itupun buta? Bagi Demang merekapun manusia juga. Macam kita dan macam yang baki 20% lagi itu juga.

~~~~

Sebenarnya kita sering membuat keputusan sebelum melihat sesuatu.

Dalam isu terbaru, para penyokong setia DSAI awal-awal lagi mengambil pendirian untuk tidak mempercayai tuduhan tersebut.

"tak kan la..."

Selepas itu mereka akan memikirkan alasan bagi menyokong pendirian mereka.

Sudah tentu penyokong kuat kerajaan pun begitu juga. Mereka segera menyokong sambil memikirkan alasan bagi disesuaikan dengan keputusan mereka.

"patut la..."

Bagi yang atas pagar tak perlulah seronok sangat kerana tidak termasuk dalam mana-mana golongan di atas.

Lazimnya golongan yang paling ramai ini akhirnya akan mengikut begitu sahaja mana-mana golongan yang lebih bijak mempengaruhi mereka.

Itulah persepsi namanya. Dulu digelar pandangan. Sebelum itu dipanggil pendapat.

Tika Demang bermenung dengan perkara ini tiba-tiba Demang tersedar betapa 'simple'nya Allah mencatur kehidupan manusia. Cuma manusia sahaja yang merasa diri mereka hebat. Padahal untuk menggunakan mata dengan betul pun manusia tidak mampu.

Kenapa Demang terfikir begitu?

Sebab, makin lama Demang rasa Demang makin bodoh memikirkan perkara ini. (dulu rasa macam hebat). Apabila diri yang disangka hebat ini tidak mampu memikirkan perkara mudah begini, maka 'Pencipta' lah yang sebenarnya hebat.

Wallahu'alam.

Insya Allah jumpa lagi.

(org yg membuka jalan utk berfikir ttg 'mata kita buta' tersebut ialah Hj Nazli TS Aziz (adik Datok Nazri yg saya temui dlm kursus di C Higland awal 90an).

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

Apa kata anda?

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)